Peniaga dikompaun RM20,000 jual topeng muka mahal

Antara topeng muka yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa.
Antara topeng muka yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa.
A
A
A

LANGKAWI - Seorang peniaga dikompaun sebanyak RM20,000 selepas didapati menjual penutup hidung dan mulut melebihi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata, pihaknya turut merampas 2,859 keping topeng muka tiga lapis di premis berkenaan.

"Peniaga berkenaan diberikan tempoh selama 14 hari bagi membayar kompaun yang dikenakan.

"Operasi yang dijalankan pada 6 Jun itu melibatkan pemeriksaan seluruh bangunan kedai di Pekan Kuah," katanya.

Anggota penguat kuasa memeriksa harga topeng muka yang dijual di sebuah di premis Pekan Kuah.
Anggota penguat kuasa memeriksa harga topeng muka yang dijual di sebuah di premis Pekan Kuah.

Dalam pada itu, menurutnya, semua peniaga dinasihatkan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan seperti meletakkan tanda harga pada barangan dipamerkan untuk jualan.

"Kita harap peniaga juga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga jualan bagi tujuan mengaut keuntungan yang lebih terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rafar berkata, pengguna juga diingatkan supaya bijak menggunakan hak mereka dalam berbelanja semasa tempoh PKP ini untuk mengelakkan daripada dimanipulasi peniaga.

Sebarang aduan, pengguna boleh salurkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya melalui saluran aduan berikut di Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Kedah 04-7001745 atau hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP.