Randuk banjir guna tangki air

Amalina dibawa keluar dari rumah yang dinaiki air menggunakan bekas tangki air.
Amalina dibawa keluar dari rumah yang dinaiki air menggunakan bekas tangki air.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang wanita yang cacat fizikal reda duduk di dalam bekas tangki air ketika dibawa keluar dari rumahnya di Kampung Belt, Chenderong Balai di sini yang dinaiki air sehingga 1 meter, Jumaat lalu.

Paras air naik mendadak sejak jam 3 pagi itu menyukarkan Amalina Hashim, 56, yang mengalami cacat fizikal bergerak menggunakan kerusi roda.

"Tiba-tiba anak bawa satu tangki air besar masuk dalam bilik tidur saya, mereka minta saya duduk dalam tangki itu dengan segera sementara tunggu pasukan penyelamat datang.

"Makcik reda disuruh duduk dalam bekas tangki air, nak tolak guna kerusi roda tak boleh sebab air dah naik tinggi," katanya yang seorang daripada 54 mangsa banjir.

Menurutnya, dua anaknya masing-masing berusia 25 dan 22 tahun mencari alternatif lain bagi membawanya keluar dari rumah dengan selamat.

"Mungkin mereka bimbang keselamatan saya sebab paras air semakin tinggi. Walaupun nampak lucu saya bersyukur sebab semuanya dipermudahkan.

"Tangki air inilah memudahkan kami meranduk banjir dan keluar dari rumah yang dipenuhi air. Ini pertama kali randuk banjir guna tangki air," katanya ketika ditemui media hari ini.

Amalina (kiri) dan Noraini (kanan) ketika ditemui di PPS Dewan MPTI Langkap, hari ini.
Amalina (kiri) dan Noraini (kanan) ketika ditemui di PPS Dewan MPTI Langkap, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Amalina berkata, dia kemudian dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap menggunakan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Seorang lagi mangsa banjir, Noraini Hashim, 50, berkata, hampir setiap tahun, kawasan itu dilanda banjir disebabkan limpahan air sungai berhampiran dan kejadian terbaru pada Disember lalu namun mereka tidak perlu berpindah.

"Kebetulan beberapa hari lalu hujan lebat dan berlarutan, sebab itulah air masuk ke dalam rumah sampai tak sempat nak selamatkan apa-apa barang pun," katanya.

Menurutnya, berada di PPS ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini menjadi pengalaman baharu buat mereka.

"Walaupun bersembang, kami masih mengekalkan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan memakai topeng muka apabila keluar. Keselamatan tetap jadi keutamaan," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Hilir Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, berdasarkan pemantauan keadaan banjir surut sepenuhnya dan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

"PPS di Dewan MPTI Langkap ditutup secara rasmi pada jam 2 petang tadi," katanya.