Jenama Co-opbank Pertama semakin kukuh

 Mohd Nor bangga dengan pencapaian 70 tahun Co-opbank Pertama. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Nor bangga dengan pencapaian 70 tahun Co-opbank Pertama. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

JENAMA Co-opbank Pertama (CBP) yang dahulu dikenali sebagai Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd kini tidak asing lagi dalam dunia koperasi.

Organisasi yang dahulunya berperanan sebagai pertubuhan koperasi yang diasaskan di Kampung Pertama Permatang Pauh pada tahun 1950, kini menjadi antara institusi kewangan berdaya saing dalam memberi pelbagai perkhidmatan serta produk pembiayaan kepada orang ramai.

Diasaskan oleh sekumpulan masyarakat Melayu yang sebahagian besarnya ahli-ahli syarikat kerjasama kampung, CBP yang ketika itu dikenali sebagai The Province Wellesley Co-operative Banking Union Limited pada 7 Jun 1950, hanya beroperasi di sebuah premis kecil di Pejabat Kemajuan Bersama Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kini selepas 70 tahun penubuhannya, CBP yang telah melalui beberapa proses penukaran nama, diberi kepercayaan dan dinaiktarafkan menjadi sebuah coopbank pada 15 September 2014 selain mempunyai 26 cawangan di seluruh negara.

Yunus Kassim
Yunus Kassim

Mengimbau sejarah penubuhan CBP, Anggota Lembaganya, Yunus Kassim berkata, badan koperasi ini pada awalnya diasaskan bagi tujuan pinjaman untuk membanteras masalah peminjam ‘padi kunca’ yang menindas golongan usahawan kecil dan syarikat kerjasama kampung ketika itu.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan syarikat kerjasama kampung yang ada di kawasan Seberang Perai pada awal tahun 50-an merupakan syarikat kecil dan tidak mempunyai modal yang cukup.

“Kami membeli dan menjual baja buatan kepada ahli. Kemudian memberi pinjaman supaya ahli dapat membeli ternakan, menyewa tanah serta menebus dan membeli tanah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Buka cawangan baharu

Nor Hidayah Omar
Nor Hidayah Omar

Sepanjang 70 tahun beroperasi, CBP telah menempa pelbagai kejayaan dengan jumlah ahli kini melebihi 91,500 orang. Malah CBP muncul sebagai sebuah institusi yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk menawarkan produk kewangan patuh syariah dengan keistimewaan tersendiri.

CBP berhasrat untuk memperluaskan lagi perkhidmatan dengan membuka tiga cawangan baharu di Kuala Lumpur, Perak dan Sabah. Penduduk di Setapak, Manjong dan Tawau bakal menerima manfaat tersebut.

Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar berkata, penduduk di Setapak, Manjong dan Tawau bakal menerima manfaat dengan pembukaan cawangan baharu sekali gus ia akan meningkatkan lagi perolehan CBP pada masa akan datang.

Nor Hidayah berkata, dalam keadaan dunia mendepani pandemik Koronavirus (Covid-19) yang kelihatannya belum menemui jalan keluar, pastinya turut memberi kesan kepada institusi kewangan di negara ini.

“Tahun 2019 merupakan tahun yang cemerlang bagi CBP apabila kita dapat memberikan jumlah pembayaran dividen paling tertinggi sejak lima tahun lalu dan kejayaan ini dicapai hasil pengurusan yang baik.

Katanya, dalam keadaan dunia mendepani pandemik koronavirus (Covid-19), ia tidak menjadi halangan apabila CBP mengambil inisiatif dengan memanfaatkan teknologi untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang disediakan menerusi pelbagai aplikasi dalam talian.

CBP turut memperkenalkan program CB-Prihatin bagi membantu mereka yang terkesan dengan wabak itu dengan menyediakan sumbangan keseluruhan tidak kurang daripada RM500,000.

Sambut 70 tahun hari ini

Mohd Nor Abd Razak
Mohd Nor Abd Razak

CBP yang menyambut ulang tahun ke-70 hari ini, telah melalui fasa cabaran dan mencatatkan pelbagai kejayaan yang membanggakan antaranya menerima anugerah Asia Pacific Entreprenuership Awards 2019.

“Kami komited melaksanakan pelbagai strategi untuk tempoh lima tahun bermula 2021-2025 yang dijangka akan memacu dan meneguhkan kedudukan CBP. Antaranya menjadikan CBP sebagai sebuah bank koperasi patuh syariah,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Katanya, CBP turut menyediakan pelbagai kemudahan lain untuk pilihan pelanggan termasuk Ar-Rahnu kerana ia mencatatkan rekod pembiayaan harian di luar jangkaan.

Usaha bagi memartabatkan CBP, ditumpukan transformasi budaya kerja bagi mengharmonikan perbezaan budaya kerja warga kerja CBP baharu dengan warga kerja yang lama sebelum CBP diiktiraf sebagai sebuah institusi perbankan.

Selain prestasi kewangan yang mencatatkan keuntungan tertinggi pada tahun 2019 iaitu RM74juta, beliau juga menyatakan kesinambungan pelaksanaan pelan strategik perniagaaan CBP amat penting di dalam memastikan kelestarian dan pengembangan perniagaan CBP kekal mampan di samping pengurusan bakat di kalangan warga CBP yang berjumlah lebih 600 orang.

*

Kamari Zaman Juhari
Kamari Zaman Juhari

Sementara itu, Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, CBP perlu peka dengan perubahan di peringkat global, proses peralihan teknologi dan ketidakstabilan ekonomi akibat Covid-19.

“Tumpuan utama CBP ialah kepada kredibiliti dan pengurusan kakitangan untuk melaksanakan strategi yang dapat memacu pertumbuhan yang mampan dan kualiti pengurusan perniagaan.

“Antara perkara yang diutamakan ialah meneliti semula proses kelulusan kredit dan sebagainya sama ada kita mempunyai sistem untuk mengenal pasti potensi yang ada.

“CBP juga akan menumpukan kepada pelanggan baharu dan berkembang dalam penguasaan pasaran untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi kewangan,” katanya.

REAKSI

Mohd Shapie Idris
Mohd Shapie Idris

“Terima kasih kepada orang terdahulu yang menaikkan nama koperasi kepada bank. Saya harap CBP akan berkembang maju ke arah pendigitalan, patuh Syariah di Malaysia dan global.” – Anggota Lembaga CBP, Mohd Shapie Idris

Profesor Madya Dr Zainal Ayub
Profesor Madya Dr Zainal Ayub

“Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Kami akan tingkatkan capaian perkhidmatan, kebajikan ahli selain menawarkan lebih banyak produk perbankan yang kompetitif dengan penuh integriti.” - Anggota Lembaga CBP, Profesor Madya Dr Zainal Ayub

Dr Jamilah Din
Dr Jamilah Din

“Pencapaian CBP dalam tempoh 70 tahun amat membanggakan. CBP berpotensi menjadi jenama besar dalam industri perbankan Islam.” – Anggota Lembaga CBP, Dr Jamilah Din

Datuk Yusof Abdul Rahman
Datuk Yusof Abdul Rahman

“Saya bangga keyakinan ahli koperasi kepada CBP dan kini mempunyai 26 cawangan di seluruh negara. Saya harap CBP akan terus unggul dan yakin ia akan terus berkembang.” - Anggota Lembaga CBP, Datuk Yusof Abdul Rahman

Ahmad Nizar Rashikin
Ahmad Nizar Rashikin

“CBP akan memastikan mandat yang diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat dilaksanakan dengan berhemah dan diurus tadbir dengan baik.” - Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Nizar Rashikin