1,631 premis diperiksa sepanjang SHMMP 2020

Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP seluruh negeri Pahang terus melakukan pemeriksaan secara berkala terhadap premis perniagaan bagi memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan harian pengguna. - Foto KPDNHEP Pahang
Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP seluruh negeri Pahang terus melakukan pemeriksaan secara berkala terhadap premis perniagaan bagi memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan harian pengguna. - Foto KPDNHEP Pahang
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang melakukan pemeriksaan ke atas 1,631 premis di seluruh negeri sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020.

Ketua Pegawai penguatkuasanya, Ahmad Fitri Ali berkata, pemeriksaan yang berakhir pada 3 Jun membabitkan 24 premis pemborong dan 1,607 premis runcit.

Menurutnya, Kuantan mencatatkan bilangan premis diperiksa paling tinggi iaitu sebanyak 412 diikuti Temerloh (341), Raub (326) Rompin (306) dan Jerantut (246).

“Daripada keseluruhan premis diperiksa, 38 didapati gagal mematuhi peraturan termasuk di bawah SHMMP 2020 dengan melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga pada barang kawalan dan menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan.

“Tindakan kompaun diambil terhadap peniaga terlibat dan satu kes melibatkan kesalahan menjual barang kawalan (ayam) melebihi harga Maksimum di Kuantan,” katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fitri berkata, kesalahan melibatkan tidak meletakkan tanda harga pada barang kawalan dikesan sebanyak 18 kes di Kuantan, Temerloh (7), Rompin (4), Raub (5) dan Jerantut (2).

“Sepanjang pemeriksaan kita dapati harga bagi 29 barang harga terkawal stabil dan bekalan mencukupi.

“Kami juga tidak menerima rungutan daripada pengguna dan peniaga berkaitan harga yang digazetkan untuk barangan harga terkawal pada SHMMP 2020,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya meminta pengguna membuat aduan sekiranya mempunyai maklumat berhubung perlanggaran undang-undang dilakukan peniaga.