MY30 manfaat 1 juta pengguna sehari

Tajuddin meninjau keadaan penempatan mangsa banjir di Dewan MPTI di sini hari ini.
Tajuddin meninjau keadaan penempatan mangsa banjir di Dewan MPTI di sini hari ini.
A
A
A

TELUK INTAN - Insentif MY30 yang diumumkan kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bakal memberi manfaat kepada lebih satu juta pengguna sehari di Lembah Klang.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, insentif itu diperkenalkan bagi menampung kos pengangkutan awam meliputi empat kemudahan di bawah kendalian Prasarana iaitu LRT, MRT, Monorail dan Bas RapidKL.

"Sebelum ini dalam sehari merekodkan hampir 800,000 orang menggunakan keempat-empat kemudahan pengangkutan ini dan apabila jangkitan wabak ini kembali pulih, kita jangkakan berlaku peningkatan jumlah penumpang.

"Jadi tak kiralah berapa ramai pun yang menggunakan pengangkutan awam ini nanti, mereka akan mendapat faedah sama dengan hanya membayar RM30, pengguna serta pekerja boleh gunakan untuk pergi ke mana-mana sahaja," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan mangsa banjir di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap di sini hari ini.

Tajuddin menyapa Salwa Hashim, 54, yang merupakan salah seorang daripada mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan MPTI di sini.
Tajuddin menyapa Salwa Hashim, 54, yang merupakan salah seorang daripada mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan MPTI di sini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin memperkenalkan Program MY30 dengan bayaran RM30 sebulan untuk pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang berkuat kuasa 15 Jun hingga Disember 2020.

Tajuddin berkata, kandungan insentif berkenaan akan diperincikan pada majlis pelancarannya 16 Jun nanti.

"Ini satu bentuk bantuan yang dapat mengurangkan perbelanjaan rakyat khususnya untuk pergi bekerja tetapi ia hanya terbuka kepada warganegara sahaja, jadi kepada warga asing, kita minta maaflah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak menyampaikan bantuan wang tunai RM500 kepada 14 keluarga dari dua kampung yang terjejas akibat banjir.

Banjir yang berlaku sejak Jumaat lalu menyebabkan 54 mangsa termasuk 18 kanak-kanak dipindahkan selepas kediaman masing-masing dinaiki air sehingga mencecah satu meter.