Tiga kanak-kanak positif Covid-19 di Kuala Langat

Jusni (dua dari kiri) memberi penerangan sewaktu sidang akhbar di Bilik Gerakan PKPDP Kuala Langat hari ini.
Jusni (dua dari kiri) memberi penerangan sewaktu sidang akhbar di Bilik Gerakan PKPDP Kuala Langat hari ini.
A
A
A

KUALA LANGAT - Tiga orang kanak-kanak disahkan positif koronavirus (Covid-19) selepas sesi saringan selesai dilaksanakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama semalam.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, menerusi keputusan terkini yang diperoleh buat masa ini, tiga kanak-kanak itu antara sembilan individu di kawasan berkenaan yang dikenalpasti positif wabak berkenaan.

Beliau berkata, dua kanak-kanak yang didapati positif wabak itu berusia dua tahun manakala seorang lagi berusia 10 tahun.

"Di Zon B, dua kanak-kanak berusia dua dan 10 tahun didapati positif manakala di Zon C pula melibatkan kanak-kanak berusia dua tahun," katanya ketika sidang akhbar di Bilik Gerakan PKPDP Kuala Langat hari ini.

Terdahulu, pelaksanaan PKP secara pentadbiran di kawasan terbabit bermula 2 Jun sehingga 16 Jun berikutan 20 warga asing yang merupakan pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menetap di kawasan ini didapati positif pada 28 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Jusni berkata, seramai 4,627 orang penduduk melibatkan tiga zon di kawasan berkenaan telah menjalani proses saringan Covid-19 selepas penguatkuasaan PKP secara pentadbiran di kawasan itu.

"Buat masa ini, keputusan saringan yang masih sedang ditunggu adalah sebanyak 2,365 dan ia akan diketahui selewat-lewatnya pada Selasa ini," katanya.

Dalam pada itu, Mihd Jusni berkata, pihaknya juga menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung keperluan bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sepenuhnya susulan perkembangan kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat berhubung sembilan kes positif ini telah diserahkan kepada KKM dan kita serah sepenuhnya kepada mereka," katanya.