Siapa Tengku Taufik, presiden baharu Petronas?

 Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang ketika ini merupakan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mengambil alih tugas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin untuk menerajui syarikat minyak dan gas negara itu berkuat kuasa 1 Julai ini.

Pelantikan Tengku Muhammad Taufik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Disifatkan mengejutkan banyak pihak, Wan Zulkiflee yang merupakan Presiden dan CEO Petronas sejak 2015 pula akan berhijrah ke Malaysia Airlines sebagai pengerusi baharu syarikat itu mulai bulan depan.

Tengku Muhammad Taufik dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan Petronas dan ahli lembaga pengarah sejak Oktober 2018. Beliau juga merupakan ahli Pasukan Kepimpinan Eksekutif.

Beliau sebelum ini merupakan rakan kongsi di firma perakaunan PriceWaterhouseCoopers (PwC) dengan berkhidmat sebagai pemimpin minyak dan gas.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Muhammad Taufik terajui Petronas, Wan Zulkiflee ke MAB

'Pengumuman rasmi peletakan jawatan Wan Zul akan dibuat jika ada'

Pada Disember 2012 hingga Januari 2015, beliau ialah Ketua Pegawai Kewangan kumpulan SapuraKencana Petroleum Bhd dan sebelum itu berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Tanjong plc.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau memegang pelbagai jawatan di Petronas mulai 2000 hingga 2012 termasuk audit dalaman, perancangan korporat, pembangunan perniagaan dan kewangan dan berkhidmat sebagai ketua unit perancangan.

Tengku Muhammad Taufik merupakan akauntan bertauliah kelahiran Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Malaysia.

Sementara itu, Wan Zulkiflee membantu Petronas mengharungi tempoh yang sukar sejak harga komoditi yang lemah pada 2014 dan memimpin syarikat sepanjang waktu itu dengan merendahkan perbelanjaan modal dan mengurangkan pekerjaan sambil menjana keuntungan untuk membayar dividen kepada kerajaan.

Pada Februari, beliau berkata Petronas akan membayar dividen berjumlah RM24 bilion kepada kerajaan pada tahun ini, namun, tiada rancangan mengenai pembayaran dividen khas kepada kerajaan bagi 2020. Tahun lepas, syarikat gergasi minyak itu membayar dividen khas berjumlah RM30 bilion, sebagai tambahan kepada dividen biasa RM24 bilion.

Wan Zulkiflee turut menerajui Petronas untuk bekerjasama dengan syarikat minyak kebangsaan Arab Saudi, Saudi Aramco untuk membangunkan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Dua minggu lepas, Petronas mengumumkan bahawa syarikat itu akan mengurangkan perbelanjaan modal bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2020, sebanyak 21 peratus berbanding anggaran awal kira-kira RM50 bilion berikutan cabaran yang dihadapi akibat koronavirus (Covid-19), menyebabkan berlakunya kejutan penawaran-permintaan di pasaran minyak pada tahun ini.

Sementara itu, Petronas dalam kenyataan berasingan mengumumkan Wan Zulkiflee akan bersara daripada syarikat itu berkuat kuasa 30 Jun 2020.

Menurutnya, Wan Zulkiflee akan meninggalkan organisasi itu selepas 37 tahun berkhidmat dan pelantikannya sebagai Pengerusi Malaysia Airlines adalah berikutan pengalaman luasnya dengan kejayaan memimpin syarikat disertai pelbagai pencapaian penting ketika mengharungi landskap perniagaan yang mencabar.

Wan Zulkiflee yang memulakan kerjaya di Petronas pada 1983 telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di syarikat itu sejak bertahun-tahun, antaranya Pengarah Urusan dan CEO Petronas Gas Bhd serta CEO Perniagaan Hiliran.

Beliau turut menjawat tugasan tambahan selaku Ketua Pegawai Operasi Petronas pada 2012.

Pada Januari tahun ini, Wan Zulkiflee diiktiraf kali kedua sebagai satu-satunya CEO ASEAN dan CEO Minyak dan Gas dari Asia dalam senarai 100 tokoh global terbaik Brand Guardians 2020 oleh Brand Finance, badan penilai jenama terkemuka dunia.

“Petronas mengucapkan terima kasih kepada Wan Zulkiflee berikutan sumbangan besarnya selama 37 tahun dengan syarikat ini. Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa depan,” kata Petronas. - Bernama