UDA Holdings rancang pelbagaikan perniagaan untuk kekal relevan

Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA), Datuk Jalaludin Alias (dua dari kiri) berbincang bersama Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Khailany (dua, kanan) ketika mengadakan lawatan kerja di Hotel Ancasa Residence Port Dickson, di sini semalam.
Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA), Datuk Jalaludin Alias (dua dari kiri) berbincang bersama Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Khailany (dua, kanan) ketika mengadakan lawatan kerja di Hotel Ancasa Residence Port Dickson, di sini semalam.
A
A
A

PORT DICKSON - Syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Bhd merancang untuk mempelbagaikan lagi perniagaannya bagi memastikan syarikat itu terus berdaya saing dan relevan pada masa depan.

Pengerusinya, Datuk Jalaluddin Alias berkata, untuk itu, perniagaan lain yang dirancang akan berpaksikan kepada normal baharu bagi meningkatkan keyakinan masyarakat termasuk peniaga berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

“Walaupun perniagaan utama kami ialah hartanah dan terlibat dalam industri pembinaan dan industri hospitaliti yang turut terjejas kerana Covid-19, kita telah menjalankan beberapa perubahan dan pendekatan untuk menyesuaikan konsep perniagaan agar terus relevan.

“Kita akan melebarkan sayap perdagangan dengan memberi penekanan kepada makanan dan minuman (F&B) dan pengurusan aset, dan dalam masa yang sama akan memberi penekanan kepada perniagaan yang sesuai dengan normal baharu yang harus diamalkan dan disambut oleh peniaga-peniaga (di bawah premis UDA Holdings Bhd) sekarang,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Jalaluddin yang dilantik sebagai pengerusi baharu UDA berkuat kuasa 13 Mei, meluangkan masa lebih dua jam untuk melawat operasi Angsana Seremban dan Ancasa Residences Port Dickson, di bawah seliaan UDA Holdings Bhd. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Salem Kailany.

Mengulas mengenai pelanjutan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Disember, 2021 seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Jalaluddin berkata ia dijangka merangsang kembali industri pelancongan negara yang terjejas akibat pandemik itu.

“Kita nak bawa seramai mungkin pelancong domestik ini untuk menggunakan (produk dan perkhidmatan) industri tempatan.

“Saya fikir (insentif) itu akan mendatangkan kesan baik dan mendapat sambutan menggalakkan masyarakat, apatah lagi bagi mereka yang sudah lama tidak melancong dan bercuti bersama keluarga, maka ini adalah peluang terbaik untuk digunakan secara maksimum oleh masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

UDA Holdings Bhd memiliki empat hotel iaitu di Pekan (Pahang), Kuala Lumpur, Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Kuala Terengganu (Terengganu) serta beberapa pusat beli-belah seperti Angsana Seremban, Angsana Kuala Lumpur, Angsana Ipoh Mall dan Angsana Johor Bahru Mall.

Kelmarin, Muhyiddin ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen berkata cukai pelancongan akan dikecualikan sepenuhnya mulai Julai ini sehingga 30 Jun tahun depan sebagai antara langkah mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan negara.

Selain itu, turut dinyatakan dalam pembentangan Penjana ialah pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang akan dilanjutkan mulai 1 September ini sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, pihaknya telah membentangkan cadangan prosedur operasi standard kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membolehkan hotel-hotel di bawahnya untuk beroperasi secara maksimum.

“Ketika ini kami sedang menunggu untuk ia diluluskan. Ketika ini, perniagaan perhotelan amat terjejas dan semenjak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, kami mengalami kerugian yang besar. Namun, penangguhan cukai seperti yang diumumkan Perdana Menteri memang membantu,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan membenarkan pergerakan antara negeri bagi membantu merancakkan kembali industri pelancongan negara. - Bernama