KFA minta penyokong Lang Merah bersabar

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

Majlis Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dijangka mengadakan mesyuarat pada minggu ini untuk membincangkan tarikh mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi pencalonan dan melantik presiden baharu badan induk itu.

Sumber KFA yang enggan dikenali berkata, melantik presiden perlu mengikut beberapa proses terutamanya pencalonan daripada badan gabungan KFA.

Jelasnya, jika terdapat lebih daripada seorang calon yang dicadangkan, maka kesemua badan gabungan KFA melibatkan 36 kelab akan membuat undian dalam EGM yang ditetapkan oleh Majlis Eksekutif KFA.

“Dalam EGM itu akan dilantik presiden baharu, kemudiannya presiden melantik setiausaha kehormat. Jawatan lain dalam persatuan juga akan bergantung kepada presiden.

“KFA berharap kelab-kelab penyokong Kedah dapat bersabar kerana proses melantik seorang presiden baharu memang mengambil sedikit masa dan mesti dilakukan dalam EGM KFA,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan beberapa kelab penyokong Kedah kepada pimpinan KFA supaya segera melantik presiden baharu selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan.

Selain Mukhriz yang telah menghantar surat peletakan jawatan, turut melakukan perkara sama ialah Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris dan Naib Presiden KFA 1, Anas Hafiz Mustaffa.

“KFA sedia maklum dengan kebimbangan para penyokong berhubung kemelut yang sedang berlaku. Namun, berilah ruang kepada persatuan untuk melakukan sesuatu terutamanya dalam mengisi kekosongan jawatan presiden sekarang,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan hampir tiga minggu Mukhriz melepaskan jawatan Presiden KFA, namun sehingga kini masih belum ada tanda-tanda badan induk itu akan mengadakan EGM untuk melantik penggantinya.

Pengerusi Kelab Penyokong Red Eagle Frenz Kedah (REFK), Mohd Azmi Abdullah berkata, peminat bola sepak di negeri itu tertanya-tanya siapakah pengganti Mukhriz kerana kekosongan di kerusi panas tersebut akan menyaksikan kemelut yang dihadapi KFA akan terus berpanjangan.