Cari persetujuan potong gaji pemain

HAMIDIN
HAMIDIN
A
A
A

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius isu tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Malaysia (Liga-M) tatkala negara masih dibelenggu krisis Covid-19 ketika ini.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya sedar masalah yang membelenggu beberapa pasukan terbabit semakin parah sejak saingan Liga-M terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik berkenaan.

Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak terlibat terutamanya pemain agar bersikap lebih rasional dengan tindakan pengurusan pasukan yang membuat pemotongan gaji demi kelangsungan mereka dalam saingan Liga-M.

“Saya bersetuju dengan tindakan pihak persatuan negeri mahupun kelab yang memotong gaji pemain. Ini disebabkan ancaman Covid-19 melibatkan semua pihak. Pemain juga kena faham banyak industri sudah melaksanakan skim pemotongan gaji.

“Pemain patut terima dan sedar situasi yang berlaku sekarang. Pasukan atau kelab juga harus menyusun kewangan mereka dengan baik di sebalik krisis Covid-19. Jika ada RM15 juta, berbelanjalah RM14 juta, baki RM1 juta simpan untuk digunakan bagi hal-hal kecemasan.

“Langkah pemotongan gaji ini sedikit sebanyak membantu beban pasukan yang berdepan dengan masalah penajaan, tiada kutipan tiket serta hasil jualan jersi dan cenderamata pasukan,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Ahad minggu ini.

Saingan Liga-M yang ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
Saingan Liga-M yang ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Sejak dua bulan lalu, media melaporkan mengenai masalah kewangan yang dihadapi beberapa pasukan Liga-M akibat penangguhan saingan liga domestik sejak 18 Mac lalu iaitu dua hari sebelum kerajaan secara rasmi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Akibat saingan Liga-M yang terpaksa ditangguhkan selama hampir tiga bulan, Kelantan, Kedah, Melaka United serta Pahang dikatakan antara pasukan yang berdepan masalah kewangan sehingga gagal melunaskan gaji pemain dan pegawai masing-masing.

“Isu tunggakan gaji sememangnya menjadi kerisauan pemain sebelum ini yang mana kebanyakan mereka meluahkan kebimbangan terhadap saranan pemotongan gaji disebabkan ada dalam kalangan mereka yang masih tidak dibayar gaji.

“Namun, ingin saya tegaskan sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat mengenai Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM yang dikeluarkan pada 1 Mei lalu.

“Dalam garis panduan itu ada menyatakan pasukan atau kelab yang masih belum melengkapkan pembayaran gaji pemain dan pegawai sehingga Mac 2020 tidak dibenarkan melaksanakan pemotongan gaji kecuali jika mereka mendapat persetujuan bersama daripada pemain dan pegawai untuk membenarkan ia dilakukan,” jelasnya.