Bola sepak Malaysia dibadai Covid-19

HAMIDIN
HAMIDIN
A
A
A

Tidak keterlaluan jika dikatakan badai Covid-19 telah melumpuhkan banyak industri di seluruh dunia termasuk sukan bola sepak di Malaysia.

Akibat wabak itu, beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mula dicengkam kebimbangan disebabkan kantung mereka yang semakin menipis. Ia berikutan perlawanan-perlawanan Liga-M terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu, dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketiadaan sumber kewangan yang kukuh menyebabkan ada pasukan yang terpaksa memotong gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing. Malah, lebih buruk ada pemain dan pegawai pasukan yang tidak menerima gaji sejak beberapa bulan lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui krisis Covid-19 memberi kesan ke atas semua pemegang taruh Liga-M, baik pemain, pegawai, penaja mahupun pihak penganjur.

Dalam temu bual eksklusif bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Ketua Meja Sukan, Azizul Fahmi Ahmad Zabidi dan Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini, Hamidin mengupas pelbagai persoalan termasuk status penganjuran Liga-M pada musim Covid-19.

SINAR AHAD: Pada Mac lepas, apabila Covid-19 mula memberi kesan kepada arena sukan bola sepak di dunia dan Malaysia, apakah yang Datuk rasakan ketika itu?

HAMIDIN: Pertama, kita perlu tahu bahawa pandemik Covid-19 ini tidak pernah terjadi dalam zaman kita sebelum ini. Awal tahun 1900 (Spanish Flu) ada, tapi pada masa itu pun kita belum lahir lagi. Jadi apabila pandemik Covid-19 merebak sekitar Januari lalu, saya mula mendapat panggilan daripada kebanyakan pasukan dan pihak media yang bertanyakan tentang status penganjuran Liga-M sama ada mahu dibatalkan atau ditangguhkan.

Pada mulanya, saya fikir perkara ini mudah. Tetapi apabila kita melihat ia melibatkan negara-negara besar seperti di Eropah dan negara lain, apatah lagi wabak ini datang dari China, persepsi saya mula berubah ketika itu. Saya tak jangka perkara itu menjadi seburuk ini sehingga kita perlu ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tetapi apabila kita membuat keputusan untuk menangguhkan saingan Liga-M pada 16 Mac lalu, saya sudah nampak ia akan memberikan kesan jangka panjang, bukan sahaja kepada bola sepak Malaysia, malahan kepada semua negara dunia.

Tapi pastinya waktu itu Datuk tidak sangka PKP berpanjangan sehinggakan ada pasukan terpaksa memotong gaji pemain jika perlu?

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya kami kemudian sudah menduga pandemik ini serius dan lanjutan PKP juga sudah pasti mempengaruhi perjalanan baki saingan Liga-M. Sehingga kini, belum ada tarikh ditetapkan.

FAM dan MFL sedar kekangan kewangan pasukan dan memahami situasi kedua-dua pihak iaitu pasukan dan juga pemain. Disebabkan itu, FAM dan MFL mencadangkan mereka berbincang bagi mencapai kata sepakat demi kebaikan bersama.

Hamidin (tiga dari kiri) mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican di Menara KBS, Putrajaya semalam.
Hamidin (tiga dari kiri) mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Perlu diingat pada ketika itu, FAM dan MFL tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pemotongan gaji, sebaliknya hanya menyuarakan cadangan kepada pasukan dan pemain mengadakan perbincangan bagi mencapai kata putus terbaik demi kelangsungan pasukan dan juga periuk nasi pemain.

Meskipun pada waktu ini industri bola sepak dunia tidak mempunyai sebarang garis panduan memandangkan wabak ini adalah perkara yang berlaku di luar jangkaan, kami berpendapat perbincangan perlu ada jalan penyelesaian terbaik. Malah, perkara sama turut dilaksanakan oleh pasukan lain di luar negara khususnya di Eropah.

Dalam keadaan penuh sukar ini, niat FAM adalah untuk mengimbangi tuntutan antara melindungi kepentingan semua pihak sambil melihat isu ini dari sudut jangka masa panjang. FAM bukan sekadar melindungi pemain dan pegawai, bahkan bertanggungjawab memayungi kelab, liga dan pemegang kepentingan agar kita semua dapat bertahan dalam situasi yang dianggap genting ini.

Lagi pula setiap tindakan kami berpandukan kepada keputusan, peraturan dan garis panduan FIFA selaku badan induk dunia dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Kebetulan, pada 7 April, FIFA mengeluarkan garis panduan yang selari dengan saranan FAM agar pasukan dan pemain mengadakan perbincangan. Bermakna FAM lebih awal mengeluarkan saranan agar pasukan berbincang dengan pemain berhubung potongan gaji.

Setakat ini, berapakah jumlah pasukan yang sudah melaksanakan mekanisme pemotongan gaji?

Beberapa pasukan sudah melaksanakan pemotongan gaji, antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT), UKM FC, Kuching FA, Melaka United (MU) dan Felda United sebelum FAM mengeluarkan Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM pada 1 Mei lalu. Garis panduan berkenaan ialah penetapan kadar pemotongan gaji pemain dan pegawai untuk pasukan atau kelab Liga-M yang masih gagal mencapai persetujuan bersama selepas tarikh akhir pada 22 April lepas.

Menerusi garis panduan itu, FAM menetapkan empat kategori kadar pemotongan gaji maksimum antara 10 dan 30 peratus yang dianggap adil serta setara berdasarkan situasi kewangan pasukan atau kelab. Langkah pemotongan gaji ini sedikit sebanyak membantu beban pasukan yang berdepan masalah penajaan, tiada kutipan tiket, hasil jualan jersi dan juga jualan cenderamata pasukan.

Apakah Datuk rasa pemain Liga-M yang ada meraih gaji mencecah RM100,000 sebulan bersedia gaji mereka dipotong?

Pemain patut terima dan sedar situasi yang berlaku sekarang. Sekali lagi ingin saya katakan, pasukan atau kelab juga harus menyusun kewangan mereka dengan baik di sebalik krisis Covid-19. Jika ada RM15 juta, berbelanjalah RM14 juta, RM1 juta simpanan untuk hal-hal kecemasan.

Penangguhan Liga-M menyebabkan beberapa pasukan seperti Kelantan dan Kedah yang sudah mengalami masalah kewangan gagal melunaskan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing. Apakah komen Datuk?

Kita kena maklum, wang kutipan tiket perlawanan tidak boleh pun menampung bayaran gaji pemain, pegawai pasukan dan sebagainya bagi sesetengah negeri-negeri terbabit. Sumber terbesar untuk pasukan adalah wang tajaan. Wang kutipan tiket hanya boleh bayar gaji sekretariat dan sebagainya, itu pun kalau kutipan banyak.

Kalau kita tengok senario bola sepak di Malaysia, kalau pasukan itu berjaya, kutipan tiket akan banyak. Kalau tak top, memang tidak akan dapat banyak. Kemungkinan penaja juga akan kurangkan tajaan. Contohnya, kalau penaja ini nak bagi RM1 tetapi apabila perlawanan dikurangkan, maka mereka bagi 50 sen saja, memang terkesanlah.

Wang kutipan tiket ini bukanlah impak yang besar tetapi pasukan mahukan Liga-M berlangsung supaya penaja dapat bayar untuk pulangan atas pelaburan (ROI). Apa yang menjadi masalah kepada pasukan-pasukan ini, apabila mereka tidak ada bajet yang betul dan berlaku kecemasan sebegini, maka mereka akan terkesan.

Difahamkan, situasi membabitkan pasukan Kelantan lebih parah apabila kes mereka sampai ke peringkat FIFA dan Mahkamah Timbangtara Sukan. Adakah isu ini memberi impak negatif kepada industri bola sepak Malaysia?

Saya ambil contoh pasukan Perlis. Kita lihat sekarang Perlis tidak akan dapat berfungsi sekiranya tidak menyelasaikan hutang RM4 juta hingga RM5 juta kepada pemain mereka. FIFA telah jatuhkan hukuman, selagi tak selesai pasukan ini tidak boleh wujud. Jadi kena ada seseorang yang selamatkan pasukan ini, kalau tidak sampai bila-bila ia akan terkubur. Ini mungkin boleh terjadi kepada Kelantan kerana jumlah hutangnya agak besar.

Saya fikir tunggakan dengan pemain tempatan tidak banyak, tetapi amaun hutang jurulatih dan pemain import yang banyak. Saya fikir mereka sedang cuba selesaikan tetapi kes baharu makin banyak dan amaun juga banyak. Kita juga telah membantu tetapi dengan jumlah yang banyak, ia menjadi sukar.

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Perkara utama yang membunuh Kelantan ialah kes pemain import serta jurulatih dan jumlahnya besar apabila ditukar kepada nilai ringgit. Jadi kalau tak ada duit sangat, kita kena ikat perut. Kalau perlu kita bermain tanpa pemain import, jangan ambil pemain import. Cermin diri sendiri dengan kewangan yang ada. Mungkin tempoh dua atau tiga tahun tak perlu ada pemain import, kita jatuh dulu ke Liga Premier sehingga sudah ada balik kekuatan kewangan.

Selain itu, ada juga situasi sesetengah pemimpin datang menguruskan pasukan untuk cari populariti dan kemudiannya tinggalkan pasukan itu. Hutang itu akan beri kesan kepada pasukan dan FAM serta MFL. Akhirnya sudah tentu masalah yang berlaku ini akan menjadi tidak baik kepada bola sepak negara. Jika semua bersetuju, kemungkinan kita akan benarkan hanya pasukan yang betul-betul sihat sertai liga bermula tahun depan.

Kita nak Kelantan masuk (sertai saingan Liga-M), sebab ia satu kerugian besar kerana Kelantan ini penyokongnya luar biasa. Negeri lain tidak boleh cabar Kelantan. Bila pasukan itu menyerlah, penyokong mereka jadi luar biasa. Jika terjadi nanti, kalau FIFA tidak benarkan Kelantan bermain, ia satu kerugian besar. Kita akan cuba melihat bagaimana untuk cuba membantu.

Jika Liga-M dibatalkan, bagaimana dengan aspek penajaan, kontrak pemain dan bisnes bola sepak Malaysia yang dianggarkan bernilai RM200 juta setahun?

Saingan Liga-M 2020 akan dibatalkan jika Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan tidak membenarkan perlawanan bersambung semula sehingga September 2020. Itu pasti. Tidak dinafikan kita bakal menyaksikan pemberhentian pekerja secara beramai-ramai dengan pemain dan pegawai pasukan bakal menjadi individu terawal dikenakan tindakan demikian. Dalam erti kata lain, pasukan berhak mengubah kontrak pemain. Situasi yang ada sekarang ini akan berubah dan akan berlaku sebaliknya yang mana kuasa lebih terletak kepada pasukan dalam menentukan nasib pemain. Penajaan boleh ditarik semula.

Bukan FAM berdegil atau tidak menghormati keputusan kerajaan atau tidak melihat dari sudut sentimen penyokong yang mahukan Liga-M dibatalkan, namun kita tetap perlu memastikan saingan liga tidak berkubur hingga menjejaskan banyak pihak.

Kita lihat Bundesliga, Liga Korea Selatan dan saingan liga di Vietnam, Belarus dan beberapa negara lain. Mereka menerima hakikat Covid-19 sudah ada dalam masyarakat tetapi semua langkah diambil bagi memastikan semua petugas dan pihak-pihak yang terbabit secara langsung dengan perlawanan itu menepati garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Akhir sekali, apakah harapan Datuk kepada setiap pasukan mahupun pemain andai Liga-M bersambung kembali?

Dalam keghairahan kita nak mulakan semula latihan dan liga, setiap SOP dan arahan yang dikeluarkan harus dipatuhi. Nasihat saya, semua yang terlibat nanti mesti patuh dengan prosedur ketat. Kita tidak mahu ada kluster Covid-19 bola sepak pula, nanti lagi susah. Saya mahu segala-galanya nanti berjalan dengan kemas dan teratur.

Kita tak mahu menjadi macam negara lain bila dah bermula liga, ada pemain kena Covid-19. Ia akan menyusahkan kita. Tetapi di pihak FAM, kita sudah bersedia dengan SOP dan sebagainya. Suasana bola sepak apabila disambung semula nanti pun akan berbeza kerana ia diadakan tanpa kehadiran penyokong, latihan berbeza dan SOP juga berbeza.

Hakikatnya, kita sedang bergelut dengan cabaran yang tidak pernah dialami. Bukan hanya di Malaysia, bahkan seluruh industri bola sepak dunia turut menghadapi kemelut sama. Normal baharu seperti penjarakkan sosial, penjagaan kebersihan diri dan tidak bersesak dalam kawasan kecil harus menjadi kebiasaan kepada kita semua.