Guru revolusioner negara bangsa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Dekad-dekad akan datang dilihat membawa gelombang perubahan yang amat besar dalam senario peradaban dunia.

Naisbitt dalam Megatrends, Kenichi Ohmae dalam The Borderless World, Toffer dalam The Adaptive Corporation, dan Husen dalam Talent, Equality and Maritocracy telah membayangkan imbasan-imbasan dunia sebagai perkampungan global.

Malaysia yang terletak di Lingkaran Pasifik di mana aktiviti ekonomi bergerak dengan begitu pantas tidak mempunyai pilihan selain daripada menonjolkan diri sebagai negara maju dan berwibawa dalam arena sosioekonomi dan politik dunia.

Entiti yang paling penting dalam menuju tahap negara maju dan mampu menghadapi cabaran era pascaindustri adalah dengan menggembleng sumber humanis, iaitu sumber yang paling penting sebagaimana diperkatakan Harbision dalam Human Resources as Wealth of Nations.

Pembangunan dan sumber manusia adalah asas untuk membina negara yang mampu dilahirkan melalui aktiviti produktif, kemahiran tinggi, ilmu pengetahuan dan keupayaan membina tenaga kerja.

Pandangan ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan merupakan pameran utama dalam mewujudkan sumber manusia yang mampu mengisi keperluan pembangunan negara dan kemanusiaan sejagat.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia memerlukan satu dogma perubahan yang perlu kesiapsiagaan untuk keluar daripada kepompong pemikiran biasa.

Bagi menangani perubahan, bukan sahaja matlamat pendidikan harus jelas malah asas yang menjadi landasan matlamat juga perlu mantap. Dalam hal ini, pandangan hidup, nilai-nilai sejagat, komitmen kepada sejarah bangsa, dan pegangan kepada keagungan ilmu perlu dijadikan agenda utama.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Pendidikan Malaysia pada 11 Mei lalu telah mengisytiharkan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ sebagai tema sambutan Hari Guru 2020. Tema ini memberikan konotasi yang cukup luas untuk ditafsirkan dan dihayati, berkesinambungan pula dengan penobatan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLBWC2020).

Tema ini seharusnya disahut dan dijiwai agar tahun keramat 2020 mampu mewujudkan roh akademia negara sebagai bangsa pembaca dan berilmu dalam kalangan masyarakat.

Generasi

Membicarakan soal pembentukan generasi baharu, sudah pasti banyak mata akan menoleh ke institusi pendidikan khususnya sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk melihat sejauh mana peranan yang dimainkan oleh para guru dan juga pensyarah.

Kerlingan mata ini seolah-olah menimbulkan satu stigma dalam kalangan masyarakat bahawa soal pendidikan hanya terletak di pundak golongan pendidik semata-mata sedangkan pada masa yang sama masyarakat masih meletakkan diskriminasi ilmu terhadap bidang-bidang pendidikan khususnya berkaitan kesusasteraan.

Realitinya, bidang kesusasteraan masih lagi bergulat dengan kondisi jelek masyarakat malahan sesetengah kepimpinan negara menanggapi bidang ini sebagai kelas kedua dan tidak perlu diberi perhatian serius.

Pandangan dangkal dan sambalewa inilah dari hari ke hari menjadikan sosok kesusasteraan semakin ‘mengecut’ dan mendiami rumah-rumah sunyi, hidup dalam kelompok tersendiri sedangkan pada masa yang sama kegiatan dan industri hiburan diberikan tempat yang istimewa dalam kalangan pengamal media dan masyarakat.

Di manakah silapnya hingga mewujudkan masyarakat dan negara yang terbelenggu dalam pemikiran sebegini?

Adakah selama ini guru-guru subjek Sastera di sekolah gagal menginterprestasi isi kandungan mata pelajaran dan melahirkan apa yang sebenarnya terkandung di sebalik teks sesebuah naskhah yang diajarkan?

Atau guru yang mengajarkan subjek Sastera itu sendiri tidak mempunyai minat dan kecenderungan serta pengetahuan untuk mengajarkan mata pelajaran Sastera menyebabkan pengajaran dan pembelajaran semata-mata ingin menghabiskan isi kandungan sukatan mata pelajaran?

Meletakkan kepincangan ini kepada guru di sekolah dan pensyarah di universiti sememangnya tidak boleh diterima sama sekali sedangkan dalam maujudnya, masyarakat sendiri masih menidakkan keupayaan fungsi sastera sebagai teras untuk membina wajah dan wadah generasi baharu.

Tidak perlu memandang terlalu jauh dalam cakupan dimensi disiplin ilmu yang luas, lihat sahaja konflik disiplin ilmu antara bidang sastera dengan bidang bahasa.

Wujud sesetengah pandangan ahli akademik yang mengatakan bahawa bidang bahasa berada lebih tinggi berbanding bidang sastera sehinggakan polemik ini mewujudkan jurang dan krisis antara pensyarah di universiti.

Hakikatnya, meskipun kedua-dua bidang mempunyai disiplin ilmu yang berbeza namun saling memperkukuh satu sama lain, ilmu bahasa tidak akan sempurna tanpa elemen sastera di dalamnya dan ilmu sastera juga tidak akan sempurna tanpa jalinan bahasa di dalamnya.

Pertautan kedua-dua bidang inilah menjadi asas jati diri yang kuat untuk diterapkan dalam jiwa generasi pemula.

Mengajarkan sastera sama ada di sekolah mahupun di universiti bukan sekadar mengajar kandungan teks.

Dalam teks itulah terkandung sejarah peradaban dan norma kehidupan untuk membentuk jati diri generasi baharu sebagai bangsa berdaulat dan berdaya juang.

Murid-murid dan pelajar harus diajarkan menyelami setiap lapisan makna yang terkandung dalam buku untuk membentuk karakter yang lebih besar terhadap diri, masyarakat dan negara.

Bagi golongan pendidik pula, jadikanlah penerokaan ilmu sebagai pembelajaran sepanjang hayat. Persekitaran pedagogi konvensional yang telah berubah kepada sibergogi menuntut kesediaan guru untuk mendepani perubahan ini secara tuntas dan berdiri sebagai barisan hadapan menerajui gelombang pendidikan normal baharu.

Pembudayaan roh akademia akan mewujudkan komuniti ilmiah yang menyusun kesediaan diri di sekeliling paradigma baharu untuk menghasilkan revolusi ilmu.

Para pendidik seharusnya dijunjung dan didendangkan kerana merekalah revolusioner sebenar pembina peradaban negara bangsa.

*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia (Penyair)