Dilema AS

Penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Rumah Putih semasa tunjuk perasaan atas kematian George Floyd di Washington D.C. Foto: Xinhua
Penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Rumah Putih semasa tunjuk perasaan atas kematian George Floyd di Washington D.C. Foto: Xinhua
A
A
A

Protes telah bermula di Minneapolis pada 26 Mei 2020 berikutan pembunuhan George Floyd oleh Derek Chauvin, anggota daripada Jabatan Polis Minneapolis. Asalnya protes tertumpu di Minneapolis tetapi ia tersebar dengan cepat ke seluruh Amerika Syarikat (AS) sehingga 12 bandar raya utama terpaksa mengisytiharkan perintah berkurung.

Malah gabenor dari 24 negeri AS termasuk Washington DC telah memohon bantuan daripada Pengawal Nasional dengan seramai 17,000 orang askar dikerahkan untuk meredakan keadaan. Protes besar-besaran itu diadakan adalah untuk menuntut keadilan bagi Floyd serta menentang kekejaman polis dan masalah perkauman.

Semenjak bermulanya protes pada 26 Mei sehingga 3 Jun, seramai 16 orang terbunuh serta 11,000 orang telah ditahan. Malangnya, ada segelintir yang mengambil kesempatan protes untuk melakukan penjarahan. Malah ada golongan yang dilengkapi dengan senjata api telah bertindak ganas dengan merosakkan harta benda seperti membakar bangunan dan kereta.

Mereka yang terbunuh terdiri daripada orang awam yang terlibat dalam protes, anggota keselamatan serta penjarah. Golongan petugas media tidak terlepas daripada menjadi mangsa di mana ramai wartawan telah ditahan serta diserang oleh anggota keselamatan. Misalnya Omar Jimenez, seorang wartawan daripada CNN telah ditahan pada 29 Mei ketika beliau sedang membuat liputan berita di Minneapolis. Selain itu, wartawan Reuters dan NBC terkena tembakan peluru getah yang dilepaskan oleh anggota keselamatan.

Kini protes itu tidak lagi terhad di AS tetapi tersebar ke beberapa bandar raya utama dunia seperti di London, Berlin, Paris, Milan, Vancouver, Sao Paulo, Rio De Janeiro, Mexico City, Auckland, Krakow, Perth di mana petunjuk perasaan berkumpul di depan pejabat konsulat AS membantah masalah perkauman di AS sehingga menyebabkan Floyd terbunuh akibat kekejaman polis. Mereka membawa sepanduk dengan perkataan Black Lives Matters atau ‘nyawa orang kulit hitam penting’.

Protes Floyd menjadi tamparan hebat kepada imej AS di peringkat antarabangsa. Sebelum ini AS telah menjadikan isu hak asasi manusia serta layanan adil terhadap golongan minoriti sebahagian daripada agenda dasar luarnya. Jabatan Negara AS serta pemimpinnya sering mengeluarkan kenyataan mengkritik negara asing berhubung hak asasi manusia.

Ramai pemimpin dunia seperti Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, telah menyatakan perasaan solidariti penduduk negara itu menentang masalah perkauman serta kekejaman yang digunakan oleh polis di AS. Begitu juga Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez turut mengeluarkan kenyataan solidariti terhadap masalah perkauman di AS.

Diskriminasi

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Kementerian Luar Rusia juga membidas tindakan menyerang wartawan yang sedang menjalankan tugas. Menurut jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, AS sudah tiada autoriti untuk mengkritik negara lain berhubung isu hak asasi manusia.

Perkara sama telah ditegaskan oleh kerajaan Iran. Menurut Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei pembunuhan dan penindasan terhadap penduduk kulit hitam berlaku di AS namun mereka terus melaungkan hak asasi manusia. Pope Francis, selaku Ketua Gereja Roman Katolik, turut mengecam amalam diskriminisasi di AS sebagai sesuatu yang tidak boleh ditoleransi.

Keprihatinan terhadap kematian Floyd tidak terhad dalam kalangan negara-negara tetapi termasuk organisasi antarabangsa. Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet mengecam kematian di tangan polis, mendesak pihak berkuasa AS untuk mengambil tindakan serius untuk menghentikan pembunuhan minoriti yang tidak bersenjata.

Ketua Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Moussa Faki Mahamat menyifatkan kematian Floyd sebagai pembunuhan dan menyatakan bahawa Kesatuan Afrika mengutuk amalan diskriminasi terhadap warga kulit hitam di AS.

Jika sebelum ini kita dipengaruhi oleh filem-filem dari AS seperti CHiPS, 21 Jump Street, Law and Order mengenai tahap profesionalisme polis dan ketenteraman di AS tetapi protes George Floyd telah mendedahkan keadaan yang sebenar bukan sepertimana yang ditonjolkan dalam film. Protes George Floyd telah menghakis kreadibiliti dan imej AS sebagai pejuang hak asasi manusia.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Startegik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya