Banjir di Perak: 54 mangsa masih di PPS

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Banjir di sekitar Kampung Sungai Rambai di Langkap, Teluk Intan belum surut menyebabkan seramai 54 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) sejak Khamis lepas.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, setakat jam 9 malam ini, mangsa yang ditempatkan di PPS itu terdiri daripada 14 keluarga membabitkan 15 lelaki dewasa, 21 perempuan dewasa, 13 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

"Terdapat seorang lelaki mangsa banjir ditempatkan di Hospital Teluk Intan atas faktor kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan cuaca di kawasan berkenaan adalah baik namun paras air Sungai Perak di Sungai Bidor, Changkat Jong ketika ini melebihi paras normal dan menghampiri paras waspada iaitu 2.86 meter (m).

Jelasnya, air sungai pasang besar itu menyebabkan air yang turun dari Sungai Batang Padang ditolak kembali ke atas dan menyebabkan paras air sungai berkenaan berada pada bacaan waspada iaitu 14.40 m.

Menurut beliau, seramai 13 petugas termasuk daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan pihak polis ditugaskan dalam operasi terbabit. - Bernama

Artikel Berkaitan: