Kesan pasaran modal kepada kita

A
A
A

Kita telah beberapa kali bincang berkenaan pentingnya pasaran modal kepada ekonomi sesebuah negara dan tentang perlunya orang Melayu sedikit sebanyak ambil tahu.

Boleh jadi tidak ramai daripada kita terlibat dalam kegiatan pasaran modal, tetapi boleh dikatakan semua kita sedikit sebanyak bergantung kepada pasaran modal.

Misalnya, kalau kita melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebahagian daripada duit kita akan dilaburkan dalam pasaran modal.

Instrumen utama pasaran modal kita adalah Bursa Malaysia di mana berbagai-bagai bentuk surat jaminan, khususnya saham syarikat swasta diniagakan.

Salah satu cara syarikat swasta mengumpul modal adalah dengan menjual saham kepada orang ramai dan badan-badan pelaburan.

Saham itu pula boleh dijual dan dibeli secara bebas dan berterusan di pasaran saham. Bursa Malaysia adalah pasaran saham utama negara kita.

Apabila pelabur yakin dengan prestasi sesebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, mereka akan membeli sahamnya. Kalau mereka tidak yakin, mereka akan jual.

Apabila ramai membeli saham sesebuah syarikat, harga sahamnya akan meningkat. Sebaliknya kalau ramai yang menjual, harga akan jatuh.

Artikel Berkaitan:

Ambil contoh saham syarikat pengeluar sarung tangan getah Supermax Corporation Berhad. Akibat pandemik Covid-19, permintaan sarung tangan getah naik melambung dan tentulah keuntungan syarikat ini akan meningkat. Bila untung banyak, ganjaran kepada pemegang saham dalam bentuk dividen juga tinggi.

Atas keyakinan itu, pelabur berpusu-pusu membeli sahamnya dan harga pun melambung. Apabila Bursa Malaysia memulakan perniagaan tahun ini pada 2 Januari, harga saham Supermax RM1.38 seunit. Tetapi pada hari Jumaat lalu, 5 Jun, harganya dah jadi RM8.88.

Ini bermakna seorang pelabur yang beli 1,000 unit saham Supermax pada 2 Januari dengan membayar RM1,380 telah buat keuntungan modal (capital gain) sebanyak RM7,500.

Satu lagi contoh ialah Top Glove Berhad. Sahamnya naik daripada RM4.65 kepada RM16.38 dalam tempoh sama.

Oleh sebab itulah orang yang pandai ‘main saham’ jadi kaya-raya dalam sekelip mata manakala yang melabur secara ikut-ikutan boleh hilang setiap sen modal dalam masa yang singkat.

Kita tengok pula AirAsia Berhad yang tak boleh terbang kerana Covid-19. Pada 2 Januari lalu, harga sahamnya RM1.69 seunit tapi pada 5 Jun lepas tinggal 86 sen sahaja.

Maksudnya, kalau kita beli 1,000 unit saham Air Asia pada 2 Januari dengan membayar RM1,690 kita sudah rugi RM830 dalam masa enam bulan.

Oleh sebab banyak orang bergiat dalam pasaran modal dengan melabur berbilion-bilion setiap hari, ia juga jadi tali ukur kepada keyakinan pelabur terhadap ekonomi sesebuah negara.

Kalau pelabur yakin, harga naik tetapi kalau mereka tak yakin, harga jatuh. Pada awal tahun, angka tunjuk (indeks) Pasaran Saham Malaysia (FTSE Bursa Malaysia KLCI) adalah lebih 1,600 mata.

Tetapi apabila berlaku krisis politik dan perubahan kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional pada bulan Mac, indeks jatuh hingga 1,200 mata. Pada 5 Jun indeks adalah 1,556.3 mata atau telah rugi 2.04 peratus.

Kebanyakan kita tidak peduli terhadap naik turun pasaran modal, tetapi kita akan rasa kesan baik dan buruknya apabila mendapat dividen ASB dan KWSP atau hibah Tabung Haji kerana semua agensi itu melabur dalam pasaran modal.

Wallahuaklam.

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara