Covid-19: Thailand rekod dua kes baharu, tiada kematian

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Thailand setakat ini sebanyak 3,104 dengan 58 kematian. - Foto 123RF
Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Thailand setakat ini sebanyak 3,104 dengan 58 kematian. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan dua kes baharu koronavirus (Covid-19) membabitkan dua lelaki yang baru pulang dari luar negara dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 setakat ini sebanyak 3,104 dengan 58 kematian.

Penolong Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Panprapa Yongtrakul berkata, lelaki berkenaan ialah pelajar berusia 22 tahun yang baru pulang dari Rusia manakala seorang lagi pekerja kilang berusia 39 tahun yang pulang dari Kuwait.

“Kedua-dua pesakit tanpa gejala itu menjalani kuarantin selama 14 hari di fasiliti kerajaan sejak kembali ke negara ini.

“Tiada kes baharu tempatan dilaporkan dalam tempoh 12 hari,” katanya pada taklimat media harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Thailand (DOH) menyarankan agar mengehadkan pelawat di tempat tumpuan pelancongan untuk mencegah peningkatan kes Covid-19 kerana kerajaan Thailand bercadang untuk melonggarkan larangan dalam fasa keempat dijangka bermula 15 Jun.

Ketua Pengarah DOH, Panpimol Wipulakorn berkata, tempat tumpuan pelancongan perlu mengamalkan kebiasaan baharu seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Bagi pengusaha pelancongan pula, beliau berkata, mereka perlu menyediakan cecair pembasmi kuman manakala tandas dan bilik air di kawasan pantai perlu dibersihkan setiap dua jam.

Artikel Berkaitan:

“Pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan garis panduan dan langkah-langkah untuk mengehadkan jumlah pelawat ke pantai bagi mengelakkan keadaan sesak,” katanya dipetik dalam Bangkok Post. - Bernama