Tak serik pecah rumah

Ahmad Adnan
Ahmad Adnan
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang lelaki tidak serik walaupun diletakkan di bawah pengawasan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA), selepas ditahan memecah masuk sebuah rumah sewa di Taman Mewah Baru, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 24 tahun beralamat Ampang, Selangor itu turut mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan lima kes di bawah Seksyen 15(1)(a) dan masing-masing satu di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 A Kanun Keseksaan serta Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Suspek ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah rumah sewa di Taman Mewah semalam selepas mangsa membuat laporan menyedari beberapa barang miliknya dan rakan rumah sewa yang lain telah tiada.

"Pemeriksaan dibuat mangsa juga mendapati besi tingkap nako di bahagian dapur telah dibengkokkan dan mengesyaki rumah mereka telah dipecah masuk ketika sedang tidur," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, barang yang dilaporkan hilang oleh mangsa adalah lima telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah power bank, sebuah beg mengandungi kad pengenalan Pakistan dan kad ATM CIMB Bank, dan wang tunai berjumlah lebih kurang RM700 dengan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM1,700.

"Bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki di hadapan sebuah rumah beralamat di Kampung Pinang Pusing, pada jam 5.30 petang semalam.

"Turut dirampas dua buah telefon bimbit jenama LYF dan Samsung J20F, satu beg galas berwarna merah, satu jack dan sebatang pemutar jack kereta serta dokumen pengenalan diri.

"Tangkapan merupakan seorang yang masih menjalani perintah pengawasan di bawah undang-undang POCA dan ditempatkan di kawasan Pusing Batu Gajah Perak mulai 2018," katanya.

Menurut Ahmad Adnan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: