Keperluan wujud kawalan moral

A
A
A

Gejala pembuangan bayi begitu menjadi-jadi dewasa ini. Tanpa naluri kemanusiaan bayi yang dilahirkan itu dibunuh dengan kejam semata-mata bagi menutup dosa yang dilakukan oleh ibu bapa bayi tersebut. Bayi yang tidak berdosa itu menjadi mangsa dan hak mereka untuk hidup di dunia telah dihakis oleh ibu bapa yang tidak berperikemanusiaan itu.

Inilah antara contoh kebejatan moral yang telah membawa kerosakan kepada kita di dunia ini.

Gejala membunuh bayi begitu berleluasa kerana masyarakat sudah tidak lagi memandang aspek akhlak dan moral sebagai suatu yang perlu dipertahankan. Sudah tidak ada perasaan malu lagi untuk berdua-duaan ataupun melakukan perkara sumbang dalam kalangan masyarakat. Sudah sering kita lihat muda-mudi terkinja-kinja dalam parti dan disko tanpa segan silu.

Meminum arak dan berpelukan sudah menjadi norma di sesetengah tempat.

Alhamdulillah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan memberi impak positif dalam mengekang gejala sosial seperti itu.

Cubaan untuk mengawal moral sebegini seringkali ditentang kononnya melangkaui hak asasi manusia. Penggubalan undang-undang berkaitan kawalan moral yang lebih ketat lagi tidak dapat dilakukan malah undang-undang sedia ada berkaitan dengan moral juga hendak dihapuskan oleh sesetengah golongan.

Persoalan mengenai sama ada undang-undang boleh mencampuri hal ehwal moral dicetuskan oleh beberapa NGO hak asasi manusia. Mereka melihat undang-undang semata-mata daripada lensa barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama.

Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salah laku moral, jika seseorang itu berdosa hanya Tuhan yang layak menghukum mereka. Namun apabila gejala membuang bayi itu berlaku, tidak pula kedengaran usaha bagi mengetatkan undang-undang moral.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya budi pekerti dan moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang yang tidak bermoral akan mudah terjerumus dalam aktiviti jenayah. Undang-undang sebenarnya adalah bersandarkan kepada moral dan moral adalah bersandarkan kepada agama.

Walaupun salah satu Rukun Negara ialah Kesopanan dan Kesusilaan, namun permasalahan moral itu seringkali diketepikan juga. Memang benar Rukun Negara tidak mempunyai kekuatan undang-undang untuk dilaksanakan namun apa gunanya berikrar atas nama Rukun Negara jika ia tidak mahu dipatuhi.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.”

Pada masa sekarang kita tidak dapat lari daripada mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri telah begitu asing daripada Islam. Dulu apabila ayat al-Quran tentang pengharaman arak diturunkan maka para sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya.

Tetapi sekarang setelah 1,400 tahun berlalu, penghayatan terhadap al-Quran adalah amat rendah.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini, dengan perundangan yang ada pun akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan, apa akan jadi jika kesemua perundangan itu dihapuskan.

Secara hipotetikalnya, apabila undang-undang itu dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita. Biarkan sahaja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral itu? Bagaimana pula dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu?

Tidak dinafikan pendidikan adalah elemen penting untuk mengawal moral seseorang. Tetapi pendidikan sahaja tidak cukup kerana pendidikan bertindak sebagai amar maaruf manakala hukuman dalam bentuk perundangan bertindak sebagai nahi munkar.

Kedua-dua kaedah itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apatah lagi dalam keadaan negara mengambil Islam dalam ruang yang begitu terhad dan berpilih sahaja. Amar makruf dan nahi munkar itu sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia