Pemakaian topeng muka sangat digalakkan: KKM

Pemakaian topeng muka ketika berada di kawasan umum terutama di tempat yang sesak dan tertutup adalah sangat digalakkan.
Pemakaian topeng muka ketika berada di kawasan umum terutama di tempat yang sesak dan tertutup adalah sangat digalakkan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan pemakaian topeng muka ketika berada di kawasan umum terutama di tempat yang sesak dan tertutup adalah sangat digalakkan bagi mencegah dan mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebagaimana yang dinyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat bukti bahawa topeng muka berkesan menurunkan jangkitan Covid-19.

"Secara prinsip, pemakaian topeng muka perlu diutamakan bagi petugas kesihatan dan juga masyarakat umum yang bergejala. Ini kerana penularan penyakit Covid-19 disebabkan oleh titisan cecair pernafasan (respiratory droplet) dalam kalangan komuniti.

"Kepada mereka yang bertugas di wad Covid-19 dan Unit Rawatan Rapi (ICU) mereka diberikan topeng muka serta memakai peralatan pelindungan diri (PPE). Itu memang kita pastikan petugas warga kerja KKM dan barisan hadapan pelbagai agensi untuk memakainya," katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, WHO bagaimanapun menekankan bahawa pemakaian topeng muka sahaja tidak mencukupi untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Justeru katanya, mereka yang bergejala seperti demam, batuk, badan letih, sakit tekak, pening kepala dinasihatkan tidak keluar rumah kecuali untuk urusan penting.

"Diingatkan bahawa penjarakan sosial, amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta lain-lain langkah kesihatan awam patut diterapkan dalam kehidupan seharian.

"Ini merupakan amalan paling utama yang perlu dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat dalam memerangi Covid-19,"katanya.

Artikel Berkaitan: