Covid-19: Kluster petugas kesihatan Kuching tamat

Dr Noor Hisham mengingatkan rakyat Malaysia untuk mematuhi langkah-langkah pencegahan Covid-19 semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
Dr Noor Hisham mengingatkan rakyat Malaysia untuk mematuhi langkah-langkah pencegahan Covid-19 semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kluster wabak koronavirus (Covid-19) melibatkan petugas kesihatan di Kuching, Sarawak diisytiharkan telah tamat dengan tiada kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan telah tamat tempoh pengawasan dan pemantauan selama 28 hari.

"Kluster yang telah tamat adalah petugas kesihatan Kuching di Sarawak melibatkan 65 individu positif dan tiada kematian.

"Terdapat pertambahan kes positif bagi lima kluster iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur (enam kes); kluster Pedas (empat kes) ; syarikat pembersihan Kuala Lumpur (tiga kes); Pudu dan Sungai Lui masing-masing satu kes.

"Tiada pertambahan kes positif baharu melibatkan 25 kluster lain,"katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, terdapat pertambahan lapan kes positif Covid-19 melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Katanya, sejak 3 April lalu, seramai 50,237 individu telah pulang dan 40,094 individu telah tamat tempoh kuarantin selama 14 hari.

"Jumlah kes dikenal pasti dan dikesan positif adalah 540 kes di mana ada pertambahan lapan kes hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Tiga kes dari Mesir, dua Australia dan masing-masing satu kes Bangladesh, Indonesia dan Qatar,"katanya.