X

Kindly register in order to view this article
!

Kita belum sedia untuk 'exit strategy': Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 Foto: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Negara ini masih belum bersedia untuk keluar daripada strategi mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sehubungan itu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan terus dikuatkuasakan.

"Sekarang ini kita belum sedia untuk exit strategy. Apa yang kita pakai Akta 342 akan digunakan sebagai pemantauan dan pengawasan bila kita membuka lebih banyak sektor.

"Sekiranya ada wabak atau peningkatan kes di sesuatu lokaliti atau kumpulan sasar, kita akan laksanakan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan akan pagar kawasan serta saring semua penduduk di kawasan tersebut sama ada warga asing atau tempatan.

"Penting untuk kita gunakan Akta 342. Kita juga telah turunkan kuasa akta ini kepada pelbagai agensi untuk membantu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menguatkuasakan akta ini kerana kita kini masuk ke fasa pemulihan. Jadi pemantauan penting untuk gunakan akta tersebut," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, kesediaan Malaysia untuk pembukaan lebih banyak sektor termasuk ekonomi, sosial, sukan dan pendidikan adalah mengambil kira tiada peningkatan kes mendadak selepas perayaan Aidilfitri.

Katanya, ini menunjukkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan berkesan namun semua sektor tetap perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita perlu melihat kepada unjuran model di Kementerian Kesihatan di mana kita jangkakan dengan tindakan dan kaedah yang kita guna pakai ini PKPB berkesan.

"Kita dapat mengawal penularan Covid-19 sehingga dua angka dan ikutkan rakyat Malaysia pun kita sudah capai satu angka. Mungkin dalam seminggu lagi dalam unjuran kita kekal dengan satu angka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM akan memastikan warga asing mematuhi SOP bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

"Sekarang ini hanya terdapat peningkatan kes positif di depoh tahanan dan kita kena tingkatkan lagi protokol kawalan di tempat-tempat tahanan ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus