Kampong Bharu: Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi relevan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) tidak lagi relevan dalam menjalankan pentadbiran tanah, perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dicapai selepas Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengambil kira pandangan perundangan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung status Lembaga Pentadbiran MAS.

Kenyataan itu menyebut, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2 Disember lalu turut perkenan menyerahkan sebarang urusan berhubung status Lembaga Pentadbiran MAS kepada KWP untuk diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.

"Fungsi pentadbiran tanah di Kampong Bharu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) dan bukannya Kaedah-Kaedah MAS berdasarkan peruntukan kepada subseksyen 5(1) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 1973 [Akta A206].

"Kaedah-Kaedah MAS hendaklah dimansuhkan kerana Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi mempunyai apa-apa fungsi memandangkan kebanyakan tanah MAS telah diberi milik dan tanah yang tinggal hanya menunggu masa untuk diberi milikan," memetik kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut, sementara isu berkaitan perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ia tertakluk di bawah Akta Wilayah Persekutuan (Perancangan) 1982, Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1973, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Lembaga Pentadbiran MAS tidak lagi boleh terlibat dalam pengurusan perbandaran termasuk pengeluaran permit penjajaan, kutipan bayaran tempat letak kereta dan sewa ruang iklan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan turut menyebut, Lembaga Pentadbiran MAS juga tidak lagi boleh terlibat dalam kawalan pembangunan.

"Ia termasuk mengeluarkan kelulusan perintah pembangunan, pelan bangunan, pelan kejuruteraan, permit kerja bangunan dan kerja tanah, penutupan jalan awam dan kebenaran menduduki bangunan.

"Bagaimanapun KWP mengalu-alukan penglibatan Lembaga Pentadbiran MAS untuk berperanan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perunding dalam membantu urusan penyelesaian harta pusaka dan tanah dalam kalangan penduduk di Kampong Bharu," katanya.