X

Kindly register in order to view this article
!

Wujudkan garis panduan pertanian bandar: Zuraida

Zuraida Kamaruddin
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengesyorkan agar satu garis panduan jelas dibangunkan khusus bagi aktiviti pertanian bandar.

Beliau berkata, garis panduan berkenaan penting agar sebarang pembukaan kebun-kebun di dalam kawasan bandar dilakukan mengikut piawaian yang standard.

“Usaha pertanian bandar ini merupakan sebuah contoh terbaik di dalam memperkasa Dasar Komuniti Negara di mana tenaga dan juga idea datangnya daripada penduduk kawasan yang ingin melihat ekosistem bumi hijau terus diperkasa di bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuraida telah mengadakan lawatan ke kebun-kebun di Bangsar pagi ini serta melihat model-model baharu pertanian bandar.

Katanya, model-model baharu pertanian bandar harus diperkenalkan secara lebih meluas agar ia lebih produktif dan dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Dalam pada itu beliau berkata, satu dasar baharu yang mengambil kira keterlibatan komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diusahakan melibatkan program berbentuk pendidikan serta kelestarian alam sekitar untuk mengoptimumkan sumber sedia ada yang secara tidak langsung menyumbang kepada keselamatan makanan.

Dalam perkembangan lain, Zuraida turut berkesempatan melawat balu kepada Mohamed Zaili Mohamed, penghantar makanan yang maut dilanggar pemandu mabuk pada 1 Jun lepas.

Zuraidah yang menzahirkan rasa simpati kepada Zahlawatti Dahlan dalam lawatan ke rumahnya di Riverdale, Bukit Antarabangsa hari ini, turut memberikan sumbangan bagi meringankan beban wanita itu yang kini menyara lima anak termasuk empat anak tiri berusia di antara 6 hingga 15 tahun.

Beliau turut memberi keyakinan peruntukan undang-undang berkaitan pemandu mabuk akan dibawa oleh kerajaan Persekutuan ke Parlimen Julai ini untuk dibahaskan supaya dapat memberi keadilan kepada semua. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus