Covid-19: 37 kes baharu, satu kematian

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 37 kes positif baharu koronavirus (Covid-19) direkodkan di negara ini dengan satu kematian hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Bakinya 29 kes penularan di dalam negara terdiri daripada 19 kes adalah bukan warganegara dan 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,304 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,552 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, satu kematian yang dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 117 kes.

"Kes kematian ke-117 merupakan wanita warga emas berumur 79 tahun (kes ke-2,296) yang merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 ke-1,508.

"Pesakit mempunyai gejala bermula pada 18 Mac 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Mac 2020 setelah disahkan positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.05 petang semalam," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 25 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,635 kes.

Artikel Berkaitan:

"Seramai lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tiada kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.