Covid-19: Peniaga Hentian MBKT rayu pengecualian sewa

Mohd Zuwairie sedang menyusun seluar sukan yang dijual di kedainya.
Mohd Zuwairie sedang menyusun seluar sukan yang dijual di kedainya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merayu supaya kerajaan negeri mempertimbangkan pengecualian bayaran sewa bulanan seperti penyewa premis milik kerajaan persekutuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan sebelum ini.

Ini kerana lebih 400 peniaga kecil yang menyewa di bangunan berkenaan mengakui terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik koronovirus (Covid-19).

Beginilah suasana di Hentian bas MBKT yang masih lengang meskipun operasi perniagaan di situ sudah dibenarkan
Beginilah suasana di Hentian bas MBKT yang masih lengang meskipun operasi perniagaan di situ sudah dibenarkan

Meskipun sudah dibenarkan berniaga pada 1 Jun lalu, tetapi mereka mendakwa suasana di kawasan berkenaan masih lagi lengang malah ada antara peniaga tidak berani memulakan perniagaan kerana tiada pelanggan ditambah pula perkhidmatan bas ekspres belum beroperasi sepenuhnya.

Peniaga pakaian, Mohd Zuwairie Abd Ghani, 33, berkata, pelaksanaan PKP dan PKPB memang memberi kesan kepada golongan peniaga sepertinya namun sedar ia dilakukan demi keselamatan semua pihak.

Mohd Zuwairie Abd Ghani
Mohd Zuwairie Abd Ghani

"Kita sedar tiada siapa mahu virus ini berlaku dan apa yang kerajaan lakukan (menutup premis) untuk keselamatan namun kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk mengecualikan pembayaran sewa seperti penyewa premis kerajaan persekutuan.

"Kalau dahulu, boleh dapat antara RM100 hingga RM200 sehari tetapi sekarang nak dapat RM50 pun susah tetapi mahu atau tidak kami perlu membuka kedai kerana stok juga banyak," katanya ketika ditemui di Hentian Bas MKBT di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Perkara sama turut diakui Esah Ismail, 63, yang mengakui pendapatannya terjejas hampir 100 peratus sejak pelaksanaan PKP dan PKPB.

Esah Ismail
Esah Ismail

"Mungkin bagi sesetengah pihak, sewa antara RM100 hingga RM200 tidak tinggi tetapi peniaga kecil-kecilan seperti kami, ia tetap memberi kesan apatah lagi kita baru sahaja menyambut Aidilfitri.

"Sebagai contoh, walaupun sudah diberikan kebenaran berniaga, kawasan ini masih lenggang dan adakalanya ada antara kami pulang dengan tangan kosong," katanya yang juga menjual pakaian.

Menurut Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Kompleks Hentian MBKT, Muhusin Mohamed pula, kesemua peniaga di sini merupakan peniaga kecil yang bergantung sepenuhnya pendapatan pada hasil perniagaan mereka.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Kompleks Hentian MBKT, Muhusin Mohamed
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Kompleks Hentian MBKT, Muhusin Mohamed

"Saya difahamkan sepanjang tempoh PKP sebelum ini, hanya 10 peratus daripada peniaga di sini yang meneruskan perniagaan mereka secara dalam talian dan selebihnya memang hilang punca pendapatan sepenuhnya.

"Bagi tukang jahit pula yang menyewa di sini, apabila masuk PKP fasa dua masing-masing terpaksa datang semula ke kedai mengambil peralatan menjahit dan tempahan pelanggan untuk disiapkan di rumah.

"Jadi, saya harap pihak berkenaan dapat mempertimbangkan rayuan pengecualian bayaran sewa ini bagi membolehkan peniaga kecil di sini 'mengumpul' duit pendapatan mereka semula," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri sudah bersetuju memberi pengecualian sewa kepada peniaga yang menyewa di premis milik mereka bermula April hingga Jun ini bagi meringankan beban kewangan peniaga di negeri ini.

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak

Katanya, bagaimanapun pihaknya akan cuba mengambil tindakan sewajarnya sebelum memutuskan keputusan bagi memanjangkan pengecualian pembayaran sewa tersebut.

"Jika di daerah ini dan Kuala Nerus sahaja, pengecualian ini membabitkan 3,600 unit premis disewa milik kerajaan tempatan termasuk 15 pasar awam iaitu 10 di Kuala Terengganu dan lima di Kuala Nerus," katanya.