JAIS laksana kursus praperkahwinan dalam talian mulai 13 Jun

Mohd Shahzihan Ahmad
Mohd Shahzihan Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melaksanakan Kursus Praperkahwinan Islam (KPPI) secara dalam talian bermula 13 Jun ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kursus praperkahwinan secara dalam talian itu dibuat selaras dengan pembudayaan norma baharu menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19).

"Permohonan boleh dibuat mulai 9 Jun ini, modul KPPI secara dalam talian adalah berasaskan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) versi 4 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, permohonan untuk mengikuti KPPI Online boleh dibuat melalui pautan yang disediakan mengikut daerah di negeri Selangor.

"Jumlah maksimum penyertaan peserta dalam setiap sesi penganjuran KPPI Online adalah 150 orang.

"Dua sesi penganjuran pada hari cuti hujung minggu (Sabtu dan Ahad) akan dibuat mengikut keperluan. Sesi pertama bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari, manakala sesi kedua bermula jam 2 petang sehingga 6 petang," katanya.

Jelasnya, peserta akan menerima jemputan melalui e-mel untuk menyertai KPPI Online.

"Setelah masuk ke platform KPPI Online, peserta perlu mengikuti langkah-langkah yang telah dinyatakan sehingga selesai dalam tempoh masa yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Sijil hanya akan diberikan kepada peserta yang berjaya menyelesaikan tugasan diberikan," katanya.

Menurutnya, sjil dan nota KPPI Online boleh diambil di kaunter di mana pendaftaran dibuat beserta pembayaran fi seperti ditetapkan.

"Transaksi serah terima sijil, nota KPPI Online dan pembayaran fi hendaklah dibuat selepas lima hari bekerja dan tidak melewati 30 hari bekerja selepas peserta berjaya menyelesaikan tugasan dalam KPPI Online.

"Tatacara lengkap berkaitan pelaksanaan KPPI Online boleh dirujuk di laman web www.jais.gov.my, Facebook dan Instagram Jabatan Agama Islam Selangor," katanya.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS akan mengutamakan peserta yang telah mendaftar dan membuat pembayaran yuran penyertaan bagi menghadiri KPPI yang tertangguh sejak 18 Mac lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama diumumkan.

"JAIS berharap semua bakal peserta KPPI Online bersabar, bertenang dan meneliti semua proses yang ditetapkan serta menghubungi Bahagian Undang-Undang Keluarga di talian 0179492634 mulai 9 Jun untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan perkara ini," katanya.