Pasar malam, pagi di Wilayah Persekutuan dibenar beroperasi

Pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun ini. - Foto 123RF
Pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun ini. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Semua pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun ini tertakhluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk waktu operasi yang terhad bagi pasar pagi dan pasar terbuka (6 pagi hingga 11 pagi), pasar malam (4 petang hingga 10 malam) dan bazaria (5 petang hingga 11 malam).

“SOP itu juga merangkumi jarak sosial kedudukan gerai ditetapkan iaitu 1.5 meter hingga dua meter dan lokasi kawasan perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.

“Pasar-pasar ini termasuk yang menjual makanan dibenarkan hanya menjual secara bawa pulang. Peniaga juga perlu memakai pakaian perlindungan diri, sarung tangan dan topeng muka,” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata, peniaga dan pengunjung diwajibkan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berhak menutup mana-mana perniagaan yang tidak mematuhi SOP.

Menurutnya, SOP itu turut boleh diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pasar-pasar di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 21 individu ditahan dan direman semalam atas kesalahan ingkar arahan PKPB.

"Polis turut mengeluarkan kompaun kepada 277 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB, namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 32 kenderaan turut diarah berpatah balik selepas didapati cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran dan antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi ialah Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka," katanya. - Bernama