Sewa banglo anjur parti dadah

Antara individu yang ditahan kerana menyertai parti dadah di sebuah banglo di Bangsar lewat malam tadi.
Antara individu yang ditahan kerana menyertai parti dadah di sebuah banglo di Bangsar lewat malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keseronokan 39 individu berhibur dalam parti liar dengan kebanyakan mereka berada di bawah pengaruh dadah berakhir dengan serbuan polis dalam operasi di sebuah banglo di Bangsar di sini lewat malam tadi.

Dalam serbuan pada jam 1.15 pagi itu, 20 lelaki dan 19 wanita berusia 18 hingga 40 tahun termasuk sembilan warga Vietnam ditahan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerusi Op Parti Liar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, banglo tersebut disewa oleh seorang daripada suspek wanita yang ditahan pada kadar RM1,900 semalam.

“Mereka yang menyertai parti liar ini dijemput melalui WhatsApp dan panggilan telefon,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zairulnizam berkata, polis turut merampas tiga peket plastik disyaki mengandungi dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 46.12 gram, 12 biji pil ekstasi dan tiga peket plastik berisi dadah disyaki ketamin anggaran berat 4.5 gram dengan nilai keseluruhan dadah dianggar RM5,647.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 32 daripada mereka positif dadah.

“Kesemua yang ditahan turut dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama

Artikel Berkaitan: