Melaka masih kaji isu pekerja asing

Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri sedang menjalankan kajian secara menyeluruh sebelum memutuskan sama ada pekerja asing di negeri ini dibenarkan bekerja atau sebaliknya.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kajian itu penting bagi memastikan kekosongan mereka dalam sektor-sektor seperti pembinaan, pertanian, pekerjaan pasar dan sebagainya tidak memberikan impak maksima kepada pihak majikan sebelum keputusan muktamad berhubung perkara itu diumumkan.

Menurutnya, kajian tersebut dilakukan bagi memastikan agensi kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menjalankan kajian terperinci mengikut keperluan dan keseimbangan ekonomi negeri.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri menerusi Majlis Keselamatan Negeri akan sentiasa senada dan menyokong sebarang arahan yang diputuskan di peringkat pusat berhubung isu pekerja asing.

"Dalam tempoh berlaku pandemik koronavirus (Covid -19) ketika ini, kita perlu berhati-hati. Mereka (pekerja asing) yang dijangkiti, kita akan hantar pulang tetapi bagi mereka yang masih ada di sini, kita perlu melihat keadaan ekonomi negeri," katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di kediaman Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di Taman Desa Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Latifah Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Rahmat Mariman.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, Melaka perlu mencari solusi lain agar kekosongan mereka itu dapat diisi pekerja tempatan lebih-lebih lagi ramai yang terkesan dengan pandemik tersebut.

"Sebelum penghantaran pulang (pekerja asing), kita akan lihat siapa yang akan menggantikan mereka bagi membantu ekonomi negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jangan nanti apabila kita hantar pulang, akhirnya ekonomi negeri terutama dalam sektor yang saya maklumkan tadi (pembinaan, pertanian dan perniagaan pasar awam) tidak dapat berjalan berikutan kekurangan pekerja, perkara itu akan diambil kira," katanya.

Semalam, kerajaan negeri Johor akan memastikan tidak ada lagi warga asing berniaga, menjadi penjaja dan diambil bekerja di mana-mana pasar awam serta premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri tersebut.

Sementara itu, dalam lawatan di rumah Ainul Mardhiah, ADUN Lendu itu berkata, pihaknya akan melihat keperluan bayi tersebut yang telah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan mulut akibat kanser 'Germ Cell Tumor' dari masa ke masa selain meluluskan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak tahun lalu.

Bayi berusia 20 bulan tersebut selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam mulutnya di London, United Kingdom (UK), tahun lalu dan banyak perkembangan positif dilalui oleh bayi tersebut.