Kantoi tuan rumah dengar suara orang bercakap!

Dua suspek yang berjaya ditahan polis dalam kejadian awal pagi tadi.
Dua suspek yang berjaya ditahan polis dalam kejadian awal pagi tadi.
A
A
A

PADANG SERAI - Polis menahan dua lelaki yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Melati awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Nor berkata, kejadian yang berlaku pada jam 12.20 tengah malam itu disedari oleh mangsa.

Menurutnya, mangsa melihat kelibat dua lelaki memasuki pekarangan rumahnya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Ketika kejadian, mangsa terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi orang bercakap di hadapan rumahnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Safuan berkata, polis yang tiba di lokasi berjaya menangkap kedua-dua suspek yang sedang bersembunyi di kawasan semak berhampiran rumah berkenaan.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, hasil semakan menunjukkan suspek pertama yang berusia 26 tahun itu mempunyai enam rekod kesalahan jenayah manakala seorang lagi berusia 21 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau.

"Siasatan polis mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam cubaan memecah masuk rumah itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 488 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: