Melaka sambut baik pengecualian cukai pelancongan

Sulaiman (dua dari kanan) dan Ismail (kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika lawatan di Pasar Masjid Tanah pagi tadi.
Sulaiman (dua dari kanan) dan Ismail (kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika lawatan di Pasar Masjid Tanah pagi tadi.
A
A
A

MASJID TANAH - Melaka menyambut baik pengecualian cukai pelancongan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi Negara Jangka Pendek semalam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, sebagai sebuah negeri pelancongan, pihaknya yakin langkah itu dapat memberikan aura positif dan merangsang semula sektor pelancongan termasuk perhotelan.

"Keputusan itu juga melegakan pemain industri pelancongan berikutan penangguhan bayaran ansuran anggaran cukai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembiayaan RM1 bilion untuk PKS pelancongan

"Diharapkan mereka dapat memanfaatkan peluang yang diberikan bagi mengukuhkan sektor itu selepas pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Masjid Tanah di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Ar Ismail Othman.

Katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) banyak produk pelancongan di negeri ini yang terjejas dan terkesan berikutan wabak itu.

"Alhamdulillah kerajaan negeri mengalu-alukan apa yang telah dimaklumkan PM, sebab Melaka memang sebuah negeri pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Diharap pihak perhotelan dapat manfaatkannya dalam masa sama mengaktifkan pakej-pakej pelancongan yang sedia ada," katanya.

Terdahulu, menerusi pelan itu Muhyiddin turut mengumumkan Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion akan ditawarkan untuk membiayai inisiatif transformasi oleh PKS sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era normal baharu.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada golongan itu untuk merancakkan industri melalui tawaran pakej dan produk pelancongan masing-masing bagi menjana ekonomi negeri dan negara.

"Sekiranya masih ada pemain industri yang kurang faham mengenainya mereka boleh merujuk semula dan dapatkan maklumat lebih tepat agar pakej dan skim itu benar-benar membantu dan masalah ekonomi ini dapat dipulihkan," katanya.