Isunya bukan sekadar ‘twist’ tapi pelanggaran etika

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Isunya bukan sekadar ber’twist’ tetapi pelanggaran Kod Etika Kehakiman.”

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kecewa dengan kenyataan balas daripada individu-individu yang dikaitkan dengan video mengenai kredibiliti dan 'kebebasan' Institusi Kehakiman Negara.

Menulis di laman Facebook beliau, Asyraf Wajdi memaklumkan Kod Etika Hakim 2009 di bawah Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan had-had tingkah laku hakim-hakim termasuk Ketua Hakim Negara.

Malah, tegas beliau, Bahagian II Kod berkenaan menjelaskan bahawa seseorang hakim itu wajib mematuhi peruntukan-peruntukan yang ditetapkan atau dikenakan tindakan tatatertib.

“Bahagian III 'Tatakelakuan' Perkara 6 (2) menjelaskan bahawa seseorang hakim tidak boleh memberikan atau membenarkan orang lain memberikan gambaran kepada mana-mana orang bahawa mereka berada di dalam kedudukan yang istimewa untuk mempengaruhinya.

“Bukankah video Ketua Hakim Negara ber’twist’ sakan, mesra dengan Peguam Negara serta peguam-peguam persendirian boleh mencetuskan gambaran, persepsi berada di dalam ‘kedudukan istimewa' sebagaimana Garis Panduan Kod Etika Kehakiman ini?” soalnya.

Katanya lagi, Perkara 8 (1)(a) dan Perkara 8 (2) di dalam Bahagian yang sama pula menyatakan secara jelas bahawa seseorang hakim hendaklah memastikan semua aktiviti luar kehakiman tidak menimbulkan keraguan yang munasabah.

Bahkan, turut dinyatakan seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profession perundangan secara individu.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun Siti Kassim berhujah bahawa beliau tidak mengenali Ketua Hakim Negara secara individu, bagaimana dengan Ambiga (Datuk S Ambiga)?

“Ambiga mempunyai sejarah panjang bersama Ketua Hakim Negara khususnya semasa prosiding kes Lina Joy di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Tegasnya, rakyat tertanya-tanya apakah wujud lagi doktrin pemisahan kuasa atau ‘separation of power’ yang akan memastikan keadilan benar-benar dilaksanakan dalam negara ini.

“Jika kod etika itu yang sepatutnya menjadi panduan utama bagi memastikan kebebasan dan integriti hakim-hakim terpelihara hendak diremeh dan diabaikan, bagaimana keseluruhan Institusi Kehakiman Negara ingin mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat?” soal beliau.

[ARTIKEL BERKAITAN: Majlis tari-menari tradisi peguam]

[ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara menari, ketua hakim diminta letak jawatan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Video menari: Ini penjelasan menteri...]