Ternakan landak raya beri pulangan lumayan

Mahadzir memberi makan kepada landak ternakannya di Pusat Santuari dan Pembiakan Landak Raya di Kampung Tala, Sik.
Mahadzir memberi makan kepada landak ternakannya di Pusat Santuari dan Pembiakan Landak Raya di Kampung Tala, Sik.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang penternak landak raya dari Kampung Tala di daerah Sik meraih pendapatan lumayan selepas ternakannya berjaya dipasarkan di pasaran tempatan dan luar negara.

Mahadzir Abd Hamid, 45, yang juga pengusaha Pusat Santuari dan Pembiakan Landak Raya berkata, landak raya atau nama saintifiknya ‘Hystrix Brachyura’ mudah untuk diternak dan cepat membiak selain mempunyai nilai komersial yang tinggi.

"Semuanya bermula pada tahun 2013 yang mana ketika itu saya hanya membela tiga ekor landak raya sebagai hobi.

"Kemudiannya saya nampak ia ada potensi untuk dikembangkan dan dari situ saya telah menjalankan proses pembiakan awal dengan landak sedia ada," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini beliau mempunyai 150 ekor landak raya yang ditempatkan di dalam 30 unit kandang khas dan turut mempunyai lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Landak ini mudah dijaga kerana mereka susah untuk sakit manakala dari segi pemakanan saya selalu beri makan labu, ubi kayu, jagung dan kelapa yang berkualiti tinggi.

"Sebulan dianggarkan sebanyak RM3,000 diperlukan untuk menampung kos makanan bagi kesemua landak yang diternak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hanya makanan yang berkualiti tinggi diberi kepada landak ternakannya.
Hanya makanan yang berkualiti tinggi diberi kepada landak ternakannya.

Mahadzir berkata, ternakan landak itu mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha kerana saiz perniagaan itu dapat diperluaskan.

"Contohnya benih induk dapat dijual yang mana bagi sepasang landak raya ia dijual dengan harga antara RM4,000 hingga RM5,000.

“Selain itu, daging landak juga mendapat permintaan yang tinggi dan ia dijual dengan harga pasaran RM120 sekilogram tetapi buat masa ini bekalan daging landak adalah terhad," katanya.

Tambahnya, daging landak ini boleh dimasak dengan pelbagai cara tetapi kebiasaannya ia akan dimasak sebagai rendang, masak kicap atau digoreng.

“Landak raya ini juga dapat digunakan untuk tujuan perubatan seperti merawat penyakit penat, masalah urat saraf, menyembuhkan sengatan haiwan berbisa selain dapat menyembuhkan luka dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata, menyedari manfaat perubatan yang dapat diperoleh dari landak itu, bersama bersama lapan pekerja di situ turut menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan menghasilkan minyak landak raya yang dijual dengan harga antara RM20 hingga RM80 sebotol.

“Bagi perancangan masa hadapan, saya harap dapat bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk membuat kajian mengenai khasiat landak raya ini selain ingin membiak dan melahirkan landak spesis berdaging,” katanya.

Katanya, beliau turut membuka pusat santuarinya kepada orang ramai secara percuma setiap hari bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang sebagai usaha untuk memberi pendidikan awal mengenai landak raya ini.