Pengguna Jambatan Pulau Pinang nikmati diskaun RFID 20 peratus

Jambatan Pulau Pinang - Foto Wikipedia
Jambatan Pulau Pinang - Foto Wikipedia
A
A
A

GEORGETOWN - Pengguna Jambatan Pulau Pinang (kategori kereta persendirian) yang menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai kaedah pembayaran tol berpeluang menikmati diskaun sebanyak 20 peratus mulai pertengahan Julai ini.

Pengurus Perniagaan Wilayah Utara PLUS Malaysia Berhad, Wan Ahmad Awang berkata, diskaun tersebut diberikan kepada rakyat Pulau Pinang dan warga kerja di negeri itu.

"Walaupun diskaun ini untuk kenderaan persendirian sahaja tetapi ia merangkumi lebih 80 peratus kenderaan yang melalui Jambatan Pulau Pinang.

"Orang ramai yang tinggal atau bekerja di Pulau Pinang boleh memohon diskaun 20 peratus menerusi RFID di Jambatan Pulau Pinang bermula bulan hadapan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, butiran lanjut mengenai permohonan diskaun itu akan diumumkan PLUS dan pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd tidak lama lagi.

Wan Ahmad berkata, penggunaan RFID membolehkan pengguna menambah nilai secara dalam talian melalui e-Dompet dan kaedah itu tidak memerlukan pengguna berinteraksi dengan jurutol sekali gus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Beliau berkata pada masa ini, bayaran tol bagi pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang ialah RM5.74 dan selepas diskaun 20 peratus, mereka hanya perlu membayar kadar baharu iaitu RM4.59.

Katanya, ketika ini, kadar RM4.59 hanya dinikmati pemilik kad Touch ‘n Go yang menerima diskaun khas dan merupakan penduduk serta warga kerja di Pulau Pinang yang menggunakan jambatan itu.

Artikel Berkaitan:

Wan Ahmad turut memaklumkan sistem kutipan tol menggunakan RFID akan dilaksanakan di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua pada pertengahan Julai namun tiada diskaun 20 peratus ditawarkan di laluan itu.- Bernama