Tiga lelaki ditahan ceroboh hutan simpan kekal

Kenderaan yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kuala Kangsar.
Kenderaan yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kuala Kangsar.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Negeri Perak menahan tiga lelaki selepas didapati menceroboh Hutan Simpan Kekal dalam dua pemeriksaan berasingan di Tapah dan Kuala Kangsar semalam.

Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit masuk hutan yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Dalam satu kenyataan kepada media, Pejabat Hutan Daerah Tapah pada Khamis lalu telah menerima aduan berkaitan pencerobohan tanah di kompartmen 137 Hutan Simpan Bukit Tapah.

Menurutnya, semakan dan risikan yang digerakkan pasukan penguatkuasaan telah menahan dua lelaki di kawasan kompartmen berkenaan.

"Lanjutan dari itu, pasukan penguat kuasa telah merampas dan menyita satu kenderaan pacuan empat roda yang telah digunakan oleh kedua-dua suspek.

"Mereka kemudiannya ditahan bagi siasatan lanjut," katanya.

Pemeriksaan oleh Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar bersama polis bagi memantau sebarang aktiviti pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran.
Pemeriksaan oleh Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar bersama polis bagi memantau sebarang aktiviti pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran.

Kenyataan sama memaklumkan, hasil sekatan jalan raya oleh pasukan penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar dapat menahan seorang lelaki dan menyita satu unit kenderaan jenis Toyota Hilux dengan muatan barangan runcit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekatan itu dibuat bagi memantau sebarang aktiviti pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran dan sebanyak 56 kenderaan telah disemak.

"Bagaimanapun suspek gagal menunjukkan dokumen permit memasuki Hutan Simpan Kekal daripada jabatan.

"Satu laporan telah dibuat di Balai Polis Lintang dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kesemua mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Ketiga-tiga suspek telah dilepaskan dengan bon jaminan polis setelah keterangan diambil.

"Jabatan akan tetap terus menguatkuasakan Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini berlangsung," katanya.