Tambah baik sistem pengairan

Ahmad (tengah) dibawa menaiki jentera penuai untuk memulakan proses menuai padi di projek skim tanaman padi Paya Mambang dekat Pekan yang bermula kelmarin.
Ahmad (tengah) dibawa menaiki jentera penuai untuk memulakan proses menuai padi di projek skim tanaman padi Paya Mambang dekat Pekan yang bermula kelmarin.
A
A
A

PEKAN - Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan menambah sistem pengairan di enam skim penanaman sawah padi di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan termasuk menaik taraf infrastruktur itu di Mambang dekat sini.

Infrastruktur pengairan sangat penting seiring dengan perancangan meningkatkan keluasan kawasan penanaman dan musim tanaman kepada dua kali setahun bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi melibatkan Skim Padi Paya Mambang, Pulau Jawa/Pulau Tambun, Ganchong, Pahang Tua, Serandu dan Merchong melibatkan kawasan seluas 7,211 hektar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, infrastruktur sistem pengai-ran perlu dibina dan dinaik taraf.

Menurutnya, permohonan menaik taraf sistem pengairan berkenaan telah dibuat dan jika diluluskan, ia dapat menampung kawasan baharu yang akan diusahakan dengan tanaman padi terutama di skim penana-man padi Paya Mambang.

Ahmad (kanan) melihat projek penanaman tembikai apollo di bawah Projek Sentuhan Felda Chini Timur 2 dekat Pekan kelmarin.
Ahmad (kanan) melihat projek penanaman tembikai apollo di bawah Projek Sentuhan Felda Chini Timur 2 dekat Pekan kelmarin.

“Setakat ini saya difahamkan skim penanaman padi Paya Mambang, Pulau Jawa/Pulau Tambun, Ganchong, Pahang Tua dan Serandu mempunyai sistem pengairan yang mencukupi, manakala di Merchong masih bergantung sepenuhnya kepada air hujan.

“Kita akan lihat langkah sewajarnya supaya skim penanaman padi Merchong yang berkeluasan 4,134 hektar ini juga mempunyai sistem pengairan yang sempurna supaya penanaman dapat dijalankan dua kali setahun berbanding hanya sekali ketika ini,” katanya selepas melawat Projek Sentuhan Felda Chini Timur 2 di sini kelmarin.

Beliau turut menyerahkan borang permohonan Agropreneur Muda kepada dua orang usahawan tani dari Kampung Mempelas dan Kampung Meragih di sini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Ahmad melawat skim penanaman padi Paya Mambang di sini yang turut disertai Exco Pertanian, Industri Makanan dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Ahmad berkata, bagi skim penanaman padi Paya Mambang yang berkeluasan 348 hektar, untuk fasa 1 melibatkan 100 hektar tanaman padi, manakala sistem pengairan dan infrastruktur lain sudah dibina dan dinaik taraf pada tahun 2017 dengan kos sebanyak RM7.3 juta.

“Difahamkan projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur pengairan untuk fasa dua skim penanaman padi paya Mambang telah diluluskan dan diselia Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) melibatkan pembukaan kawasan penanaman baharu seluas 49.8 hektar,” kata beliau.

Manfaat program Agropreneur Muda

Dua usahawan tani muda di sini menaruh harapan untuk menaik taraf dan mengembangkan lagi bidang pertanian yang diusahakan melalui program Agropreneur Muda.

Khairul Rauf Zaimi, 22, dari Kampung Mempelas berkata, beliau kini mengusahakan kebun sayur dengan tanaman terung dan bendi di atas tanah seluas 0.8 hektar di kampungnya.

Menurutnya, beliau merancang untuk meluaskan lagi kebun sayur tersebut di atas tanah seluas 0.8 hektar lagi untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman.

“Sekarang ini saya bergantung dengan modal sendiri, jadi agak membebankan untuk mengembangkan lagi tanaman ini.

“Sekiranya ada bantuan daripada kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta agensi di bawahnya, impian saya ini dapat direalisaikan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Borang Permohonan Agropreneur Muda sempena lawatan Ahmad di Skim Padi Paya Mambang di sini kelmarin.

Ahmad (tengah) menyerahkan borang program Agropreneur Muda kepada Zakaria sempena lawatan beliau di Skim Padi Paya Mambang dekat Pekan kelmarin.
Ahmad (tengah) menyerahkan borang program Agropreneur Muda kepada Zakaria sempena lawatan beliau di Skim Padi Paya Mambang dekat Pekan kelmarin.

Sementara itu, Zakaria Mohd Zuki, 32, dari Kampung Meragih berhasrat untuk beralih daripada kaedah konvensional kepada sistem fertigasi bagi menjamin kualiti sayur-sayuran yang diusahakan.

Beliau kini mengusahakan pertanian dan ternakan di atas tanah seluas 2.4 hektar di kampungnya sejak 10 tahun lalu.

“Saya cuba menyertai program Agropreneur Muda bagi merealisasikan impian untuk membawa bidang perta-nian yang saya usahakan ini ke satu tahap yang lebih baik melalui sistem pertanian moden,” katanya.

Galak generasi muda ceburi pertanian

Ahmad meninjau projek pertanian yang diusahakan di bawah Projek Sentuhan Kasih di Felda Chini Timur 2 di sini kelmarin.

Projek yang ditubuhkan pada April 2013 itu melibatkan seramai 100 peserta dalam kalangan generasi kedua Felda Gugusan Chini.

Sempena lawatan beliau yang turut disertai wakil agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta institusi pembiayaan, mereka dibawa meninjau projek tembikao apollo yang diusahakan peserta menggunakan kaedah pertanian moden.

Projek tersebut turut mengusahakan tanaman cili dan ternakan ikan air tawar dalam tangki.

Ahmad berkata, projek pertanian yang diusahakan peserta Projek Sentuhan Kasih Felda Chini Timur 2 itu membuktikan bidang pertanian juga mampu memberikan pulangan lumayan.

Menurutnya, golongan muda termasuk generasi kedua Felda digalakkan menceburi bidang pertanian dengan merebut peluang yang disediakan pelbagai pihak termasuk agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui khidmat bimbingan, bantuan modal dan sebagainya.

Pada lawatan itu, Ahmad turut menyerahkan benih kelapa matag myd, selain menyempurnakan simbolik penanamannya di pekarangan dewan serbaguna Projek Sentuhan Kasih Felda Chini Timur 2.