Kafa hargai legenda bola sepak uzur

Azihan (duduk) menerima sumbangan yang disampaikan oleh Mohd Noor semasa sesi ziarah bersama Kafa.
Azihan (duduk) menerima sumbangan yang disampaikan oleh Mohd Noor semasa sesi ziarah bersama Kafa.
A
A
A

KOTA BHARU - Nama Che Hamid Ghani dan Azihan Yusof cukup popular dalam arena bola sepak tanah air pada era tahun 50-an dan 70-an.

Kehebatan Che Hamid, 83, sebagai pemain penyerang pasukan Kelantan dan Malaya sekitar tahun 1958 menjadi bualan penyokongnya pada setiap kali perlawanan kerana pastinya gawang lawan akan bolos.

Pemain bola sepak Kelantan sejak sebelum kemerdekaan itu pernah beraksi sebagai penyerang utama di samping Mohamad Che Su, Dali Omar, Ghani Omar, Mahadi Yusoff dan Salleh Ibrahim.

Azihan Yusof, 70, pula selama dua tahun bersama pasukan Belia Malaysia dan tiga tahun dalam pasukan Kelantan tidak kurang hebatnya sebagai pemain barisan hadapan sekitar tahun 1970-an.

Semua itu menjadi kenangan pada zaman kegemilangan dan kini kedua-duanya sudah uzur dan hanya mampu berehat di kediaman mereka bersama keluarga di Kota Bharu.

Bagi mengenang jasa mereka, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Persatuan Prihatin dan Kebajikan Negeri Kelantan meluangkan masa menziarahi veteran bola sepak itu selain berkongsi cerita dan mengembalikan kenangan pada zaman jersi kebanggaan tanah air.

Kunjungan bersama Sinar Harian ke rumah Che Hamid di Kampung Dusun dan kediaman Azihan di Wakaf Mek Zainab disambut dengan penuh ceria kerana dapat berjumpa rakan lama.

Turut sama, Presiden Kafa, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah, Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Pengerusi Persatuan Prihatin dan Kebajikan Negeri Kelantan, Mohd Noor Mohd Yusoff.

Artikel Berkaitan:

he Hamid (tengah) menunjukkan gambar lamanya ketika menentang Filipina pada tahun 1960 ketika menerima kunjungan di rumahnya.
he Hamid (tengah) menunjukkan gambar lamanya ketika menentang Filipina pada tahun 1960 ketika menerima kunjungan di rumahnya.

Mereka mengenang kembali suka duka pada zaman kegemilangan termasuk melihat rakan muntah ketika latihan dan detik menyelamatkan diri dalam rusuhan di stadium.

Berkongsi cerita, Che Hamid yang digelar pemain paling kacak untuk pasukan Kelantan berkata, sepanjang 40 tahun terlibat sebagai pemain dan jurulatih hari ini paling menggembirakannya kerana masih diingati generasi baharu.

“Jika dulu kami dibayar RM1 pun sudah rasa gembira dan cukup bermakna kerana kita membawa maruah pasukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Azihan, dapat mengimbau memori pada zaman kegemilangan dan hebat beraksi menyepak bola di padang mampu melupakan seketika mata kanannya yang ditampal pembalut luka kerana sedang dirawat akibat mengalami gangguan fokus penglihatan.

“Terima kasih kerana ada yang sudi bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan,” katanya.

Sementara itu, Wan Rahim berkata, selain memikirkan cara untuk menyelesaikan kemelut kewangan dihadapi Kafa, pihaknya tidak melupakan bintang bola sepak yang pernah berbakti.

“Program sebegini akan diteruskan setiap masa selain kita mahu pemain-pemain yang ada hari ini turut mengambil semangat orang lama untuk beraksi di hadapan penyokong setia pasukan bola sepak,” katanya.