Harapnya tiada lagi pi mai pi mai

A
A
A

KITA masih berharap juga. Kita berharap adalah nanti harapan untuk berlakunya perubahan pada Akta 333 ini. Kita ada diberitahu juga melalui media bahawa kerajaan sekarang amat bersungguh-sungguh untuk meminda akta itu. Harapan kita agar ia menjadi kenyataan.

Dahulu kerajaan Pakatan Harapan (PH) ada juga memberitahu dengan bersungguh-sungguh untuk mengubah akta itu. Itu pun setelah berlaku beberapa kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk, namun akhirnya berkubur begitu sahaja. Alasannya disebabkan PH dikhianati.

Dan setelah berlaku lagi kemalangan pemandu mabuk yang tidak henti-hentinya seperti tiada hentinya katak melompat memanggil hujan maka, muncul semula hasrat untuk mengambil tindakan akan isu itu demi rakyat jelata.

Saya pula ada juga menulis artikel berkenaan pemandu mabuk pada bulan Januari lalu. Dalam artikel itu juga saya beritahu, apabila dibuat carian dengan kata kunci pemandu mabuk maka dapatlah kita lihat isu ini sudah berlarutan sejak bila.

Yang sempat saya lihat, sejak tahun 2011 pun sudah ada kes pemandu mabuk yang melanggar orang yang tidak bersalah. Hari ini, kita sekali lagi akan dihidangkan dengan fenomena ulang tayang yang memang sentiasa berlaku di negara kita ini.

Dan saya juga sekarang, sekali lagi ibarat ulang tayang juga, menulis tentang pemandu mabuk. Dengan harapan agar kali ini cadangan pindaan Akta 333 yang melibatkan Seksyen 41 sehingga 45 akan berlaku juga akhirnya.

Cuma saya berasa bimbang juga. Mana tahu isu ini akan berulang kembali menjadi seperti dahulu. Apa yang diharapkan rakyat jelata tidak menjadi kenyataan.

Kalau dilihat tanda-tandanya untuk kebarangkaliannya untuk tidak menjadi kenyataan ada juga. Mungkin kita boleh mengkajinya begini.

Artikel Berkaitan:

Sejak tahun 2011, siapakah pemerintahnya? Ya Barisan Nasional. Tetapi setelah lama memerintah tetap tidak ada tindakan juga. Dan cadangan memperbaharui akta itu jika ada pada waktu itu untuk mengenakan tindakan yang lebih berat kepada pemandu mabuk sepi tanpa berita.

Kemudian kita langkau kepada tahun PH memerintah pula. Mungkin kita susah juga hendak membuat kesimpulan. Lagipun kita hendaklah berlaku adil juga. Kerana mereka memberi alasan kononnya tidak sempat untuk pinda sebab dijatuhkan.

Sekarang kita sudah ada pemerintahan kononnya baharu iaitu Pakatan Nasional pula. Yang di dalamnya terdiri, alahai, muka-muka dahulu kala juga, tiada yang lain melainkan yang itu sahaja. Sekali lagi saya berfikir, adakah sekali ini, apa yang akan kita harapkan sekali lagi seperti tak berasak lenggang daripada ketiak.

Tindakan

Bagaimanapun, eloklah kita memberi peluang juga. Sekalipun dalam Pakatan Nasional ini ada UMNO yang telah pun mempunyai kuasa sebelum ini. Kita sebagai rakyat jelata kena berlaku adil.

Ada yang memberitahu supaya rakyat jelata jangan risau. Kita ada parti Pas yang sebahagian daripada kerajaan sekarang. Lagipun, sebagai pemerintah baharu, ia ibarat orang berkahwin juga.

Mana mungkin akan terus melahirkan anak. Memang betul orang yang baru kahwin bukan akan terus melahirkan anak. Tetapi ada juga orang yang belum berkahwin dapat anak.

Apatah lagi ada juga orang yang asyik bercerai, rujuk, pun ada yang tidak dapat anak juga. Kalau dapat anak pun, kadangkala anak itu tinggal terbiar pula. Jadi janganlah jadi seperti anak sungai yang sentiasa berubah-ubah.

Orang yang sekejap kahwin, sekejap cerai yang memakai nas daripada firman Tuhan ini haruslah dipandang berhati-hati juga. Walaupun sudah ada dalam kerajaan, mungkin akan berubah hati pula. Takut terpalit pula bak kata pepatah ‘kurang kerat, renguh yang lebih’.

Rakyat jelata bolehlah melihat dan berfikir sendiri. Ia bukan baru berlaku. Sudah lama juga. Kadangkala naik meluat juga apabila difikir-fikirkan. Kita yang selalu berkuah air mata, mereka pula seperti tikus jatuh di beras.

Dan harapan rakyat jelata juga kali ini supaya pindaan akta itu hendaklah jadi kenyataan. Tiada lagi pi mai pi mai, sementara Perikatan Nasional tidak tersungkur atau Parlimen tidak dibubarkan lagi.

Sebab adalah juga terdengar cerita-cerita begitu. Kalau terjadi juga, maka nanti, sekali lagi, bak kata pepatah ‘seperti ketiak ular’.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com