Logik keselamatan diri

Kematian George Floyd pada 25 Mei 2020 di Minnesota menyebabkan ledakan demonstrasi protes melebihi 350 buah bandar-bandar Amerika Syarikat dan menular hingga ke Eropah. - Foto Orange County Register
Kematian George Floyd pada 25 Mei 2020 di Minnesota menyebabkan ledakan demonstrasi protes melebihi 350 buah bandar-bandar Amerika Syarikat dan menular hingga ke Eropah. - Foto Orange County Register
A
A
A

KEMATIAN George Floyd pada 25 Mei 2020 di Minnesota, Amerika Syarikat (AS) menyebabkan ledakan demonstrasi protes melebihi 350 buah bandar-bandar AS dan menular hingga ke Eropah. Kejadian kematian di bawah tahanan polis bukanlah sesuatu yang pelik di AS.

Menurut laporan Mapping Police Violence yang terhasil daripada tiga data berbeza mendapati sejak Januari 2013 hingga Disember 2019, ribuan nyawa terkorban setiap tahun di bawah tahanan polis.

Bagaimanapun, yang berbeza sekarang adalah kejadian itu berlaku di kala Covid-19 membawa ancaman keselamatan dan kesihatan berskala global dan AS menjadi penyumbang utama statistik kes yang hampir mencecah dua juta serta kematian sebanyak 110,000 orang.

Maka, dua isu besar yang berlaku itu seharusnya membuatkan kita terfikir apakah logik keselamatan diri yang wujud dalam kendiri rakyat AS. Salah satu cara mengekang Covid-19 adalah dengan penjarakkan sosial, tetapi sangat berbeza dengan yang berlaku di AS.

Sebelum isu Floyd, demonstrasi berlaku di AS dengan perhimpunan menentang perintah berkurung dan tuntutan ekonomi yang memperlihatkan politik di AS bergolak antara gabenor bandar-bandar dan Presiden Donald Trump.

Ia bertambah buruk apabila diberitakan bahawa Presiden Trump mengarahkan tindakan ketenteraan terhadap penunjuk perasaan bagi membolehkan beliau bergambar berhampiran sebuah gereja di Washington DC.

Kerana itulah dalam Maqasid Syariah, prinsip menjaga nyawa diletakkan kedua selepas agama. Keselamatan hidup rakyat, kesaksamaan rakyat, serta keamanan dan kestabilan perlu menjadi keutamaan kerajaan dan rakyat.

Merujuk perilaku masyarakat AS itu, walaupun bukan semua, tetapi laporan berita di AS memaparkan di samping demonstrasi aman yang berlaku, wujud juga demonstrasi ganas hingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

Tidak hairanlah, hampir 40 arahan perintah berkurung dikenakan di 16 buah negeri, tetapi rasa marah yang meluap menyelubungi logik akal tentang bahaya Covid-19 yang melingkari mereka.

Penilaian

Mungkin itu adalah natijah apabila soal hak asasi melampaui logik keselamatan diri. Mungkin juga ia sebagai respons sikap bongkak pemimpin yang populis dan gagal memahami masyarakatnya sendiri, sebagaimana ditempelak bekas setiausaha pertahanannya sendiri.

Atau mungkin juga kerana ia adalah perancangan untuk menjadikan AS putih semula sebagaimana siri ucapan dan perutusan yang dibuat dalam kempen pemilihan semula.

Statistik terkini dalam tinjauan berkaitan pandangan rakyat AS mendapati penilaian tidak setuju terhadap Trump mencipta sejarah tertinggi sebanyak 54.2 peratus sebagaimana dalam laporan FiveThirtyEight.com yang membuat kompilasi daripada beberapa firma tinjauan umum di AS.

Makanya, dalam konteks keselamatan diri, mungkin rakyat AS yang dididik tentang kebebasan diri sebagai salah satu hak disalah tafsir sehingga memakan diri sendiri. Seharusnya dalam keadaan pandemik ini, soal berdemonstrasi kerana sesuatu isu bukanlah jalan penyelesaian terbaik.

Soal nyawa mereka seharusnya mereka fikirkan. Ini kerana besar kemungkinan tindakan mereka bakal membawa malapetaka yang lebih besar.

Bayangkan, hasil autopsi Floyd mendapati dia positif Covid-19 sebagaimana laporan akhbar Washington Post. Makanya, berapa kebarangkalian yang ada pada puluhan ribu penunjuk perasaan yang sudah menjejak hari ke-10 siri demonstrasi?

Mungkin sudah sampai masanya, AS dan Eropah mencontohi negara Asean dalam mengurus konflik dan keselamatan negara.

* Dr Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Ketua Program Pasca Siswazah Generik Universiti Sains Islam Malaysia