Usaha bawa pulang Wan Kuzri ke Malaysia

Wan Kuzri
Wan Kuzri
A
A
A

[DIKEMAS KINI] BANYAK persoalan menyelubungi penglibatan pemain muda berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal bersama skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk membawa pulang Wan Kuzri untuk bersama skuad bimbingan Brad Maloney yang akan menghadapi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan Oktober depan.

Stuart berkata, antara permasalahan adalah sama ada Wan Kuzri dibenar meninggalkan Amerika Syarikat (AS) atau dilarang memasuki Malaysia selain persoalan mengenai keperluan untuk pemain di posisi tengah itu menjalani kuarantin wajib sebelum dibenarkan menyertai kem latihan skuad negara.

“Memang dia berkeinginan menyumbang kepada negara. Walaupun mungkin ada kem latihan buat skuad negara dalam masa terdekat jika situasi membenarkan, persoalannya sama ada dia boleh turut serta.

“Persoalan adakah dia boleh meninggalkan Amerika dan jika tiba di Malaysia, adakah dia akan dikuarantin? Adakah saat itu Malaysia benarkan kemasukan warga asing? Banyak persoalan dengan status penyertaannya bersama skuad negara, namun itu yang sedang kami usahakan,” katanya.

Kehadiran Wan Kuzri dianggap mampu memberi nilai tambah kepada misi skuad B-19 negara yang menyasarkan beraksi pada kempen Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.

Namun, Stuart mengakui Wan Kuzri yang merupakan adik kepada Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Sporting Kansas City perlu membuktikan kemampuannya terlebih dulu.

Artikel Berkaitan: