'Jangan hanya fokus menghukum pemandu mabuk'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat meminta kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada bentuk hukuman semata-mata kepada pemandu mabuk, sebaliknya melihat penyelesaian lain terutama pendidikan.

Naib Pengerusinya, S Suryanarayanan berkata, meminda undang-undang sedia ada untuk memberi hukuman lebih berat kepada pesalah bukanlah langkah terbaik menyelesaikan isu tersebut.

Menurutnya, kerajaan seharusnya mengenal pasti punca utama sesuatu isu itu dan bukan meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol.

"Islam ini cukup indah. Dakwah disampaikan secara hikmah iaitu dengan cara mendidik, bukan menghukum. Pada saya inilah cara yang harus dilakukan bukan terus menghukum mereka yang melakukan kesalahan.

"Ya, mungkin memang mereka salah sebab minum arak, tetapi macam mana mereka boleh minum kalau barang tersebut mudah dibeli dan didapati kalau bukan sebab ada dijual di merata tempat tanpa had," katanya kepada Sinar Harian.

S Suryanarayanan
S Suryanarayanan

Katanya, DHPP Perak sebelum ini pernah memperjuangkan isu samsu haram atau minuman keras tiruan yang merosakkan masyarakat sejak tahun 2009 lagi.

Artikel Berkaitan:

"Individu yang mengambil minuman keras jenis ini akan bertindak agresif dan tidak terkawal serta memberikan mudarat kepada orang lain," katanya.

Suryanarayanan yang juga Pengerusi DHPP Perak berkata, kebanyakan pemandu mabuk dipercayai mengambil minuman jenis tersebut kerana harga yang murah dan mudah didapati.

"Kita sudah lama memperjuangkan isu ini kerana memikirkan kesannya kepada masyarakat, namun sehingga kini ia masih gagal dibanteras secara besar-besaran. Kerajaan perlu ada kehendak politik untuk melaksanakannya dan bukan retorik bermusim semata-mata.

"Saya sedia ke depan membantu kerajaan dalam menangani masalah ini kerana memikirkan generasi akan datang. Saya tak mahu anak cucu saya jadi kaki botol dan menyusahkan orang lain, malah rasanya semua orang berfikiran sama," katanya.

Menurutnya, modus operandi mereka menggunakan minuman keras dengan pelbagai jenama terkenal yang telah dicampur dengan bahan lain sebelum dijual dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran sebenar.

"Harga minuman alkohol tiruan ini lebih murah daripada harga arak yang dijual secara bebas cukai," katanya.

Dalam pada itu, Suryanarayanan berkata, semua pihak boleh belajar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan apabila kedai bukan barangan keperluan ditutup dan tempoh masa premis beroperasi dihadkan menyebabkan hampir tiada kes melibatkan pemandu mabuk.

"Setelah kelonggaran diberikan dan banyak premis boleh beroperasi sehingga malam, kes melibatkan pemandu mabuk kembali, malah menjadi bertambah teruk.

"Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan had masa operasi maksimum yang lebih pendek kepada semua premis supaya kes-kes pemandu mabuk dan jenayah dapat dikurangkan," katanya.

Katanya, semua agensi kerajaan perlu proaktif dalam membanteras penjualan samsu haram atau minuman keras palsu itu kerana ia menjejaskan pendapatan negara.

"Isu pemandu mabuk boleh dibanteras jika semua pihak memainkan peranan dengan menghapuskan punca masalah tersebut," katanya.