Jangan lupakan penderitaan rakyat Kashmir: Mapim

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk memainkan peranan yang lebih vital dan vokal dalam memperjuangkan nasib umat Islam yang menjadi mangsa keganasan berikutan konflik berpanjangan di Kashmir.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rakyat Kashmir juga berhak mendapat perhatian dan keprihatinan yang sama seperti Palestin, memandangkan mereka juga ditindas sejak sekian lama.

“Isu Kashmir ini mesti diangkat dan disuarakan kerana mereka juga menghadapi tekanan seperti Palestin...angka kematian dan penderitaan rakyat Kashmir juga lebih buruk.

“Meskipun kita ada hubungan perdagangan dan diplomatik dengan India namun kita tidak boleh membisu dengan hal berkaitan kezaliman, pembunuhan, pencerobohan dan perampasan...kita perlu bersuara dengan pihak terbabit yang melakukan genosid (pembunuhan kaum) ke atas Kashmir,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ‘2019 Genocide Memorial Day’ di Kolej Universiti Islam Selangor yang memberi fokus kepada pembunuhan kaum yang berlaku di Kashmir akibat konflik yang berlarutan lebih 70 tahun antara India dan Pakistan. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Muhammed Nafees Zakaria.

Mohd Azmi berkata, Mapim yang telah menubuhkan Sekretariat Keadilan dan Keamanan untuk Kashmir juga menggesa kerajaan agar Malaysia menganggotai ‘Contact Group on Kashmir’ dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai Pakistan, Azerbaijan, Nigeria dan Turki, agar suara lebih didengari dunia.

Katanya, Mapim juga akan mempergiatkan jelajah dan juga seminar di masjid-masjid serta universiti bagi memberi kesedaran bahawa rakyat Kashmir berhadapan dengan situasi yang parah, sekali gus supaya penderitaan mereka tidak dilupakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: