UUM larang Dr Kamarul Zaman siar penulisan politik di medsos

Kamarul Zaman Yusoff
Kamarul Zaman Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pensyarah kanan Kolej Undang-undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dilarang menyiarkan ulasan politik di akaun media sosialnya.

Difahamkan, Kamarul Zaman yang terkenal dengan kelantangan bersuara termasuk mengkritik kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimaklumkan pihak pengurusan universiti untuk tidak lagi menulis berkaitan pemikiran politik di media sosial miliknya.

Ketika dihubungi, beliau mengesahkan berhubung larangan terbabit dan memberitahu dipanggil pengurusan tertinggi UUM Rabu lalu selepas laporan dibuat terhadapnya.

"Saya dimaklumkan terdapat aduan daripada beberapa pihak berhubung penulisan berkaitan politik di media sosial yang didakwa memihak kepada politik tertentu selain memberi keterangan tanpa kebenaran pengurusan.

"Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini kerana menghormati autonomi UUM selaku majikan tambahan pula saya tidak mempunyai masalah dengan pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

No Image Caption

Kamarul Zaman berkata, semua pihak hanya menjalankan tugas mengikut bidang kuasa masing-masing.

Tinjauan di akaun Facebook Kamarul Zaman mendapati tidak lagi aktif dan ditutup serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman pernah menjadi topik perbincangan hangat apabila Dr Mahathir hadir sebagai tetamu Wacana Sinar ke-53 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketika itu, Kamarul Zaman mengkritik Dr Mahathir berhubung usia tuanya dan mempersoalkan kemampuan untuk menjadi perdana menteri ketujuh.

Setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan, Kamarul Zaman melepaskan jawatannya sebagai pengarah Institut Analisis Politik Malaysia UUM.