Ingkar SOP: Pasar Meru, 19 premis diarah tutup serta-merta

Kompleks Pasar Meru diarahkan tutup semasa operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Meru, hari ini. Foto: Bernama
Kompleks Pasar Meru diarahkan tutup semasa operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Meru, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KLANG - Sesak, tiada jarakan sosial serta tidak memeriksa suhu badan pekerja antara punca Kompleks Pasar Meru di sini dan 19 premis perniagaan di sekitarnya diarah tutup serta-merta selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua operasi bersepadu agensi penguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula ekonomi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), CT Zawiah Ab Ghani berkata, penutupan kesemua tiga blok bangunan kompleks pasar itu dan premis sekitarnya dilakukan selepas dikesan beroperasi dengan tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

“Pemeriksaan kami juga mendapati pengurusan pasar ini tidak menyediakan cecair pensanitasi tangan di lokasi sepatutnya, proses nyahcemar tidak dijalankan setiap hari dan bacaan suhu badan hanya diperiksa ke atas pengunjung sahaja, tidak termasuk pekerja.

“Disebabkan itu, JKNS menutup kompleks pasar itu serta merta hari ini termasuk 19 premis peruncit dan pemborong di sekitarnya atas kesalahan sama iaitu sesak dan tiada jarakan sosial," katanya kepada pemberita di sini.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Mohd Redhuwan Md Noor (kanan) ketika memeriksa keadaan pasar basah pada operasi bersepadu di Kompleks Pasar Meru, hari ini. Foto: Bernama
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Mohd Redhuwan Md Noor (kanan) ketika memeriksa keadaan pasar basah pada operasi bersepadu di Kompleks Pasar Meru, hari ini. Foto: Bernama

Terdahulu, beliau menyertai 70 penguat kuasa dari JKNS, polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan petugas Majlis Perbandaran Klang, melakukan operasi bersepadu pematuhan SOP PKPB di kompleks pasar berkenaan.

Jelas CT Zawiah, mengikut SOP PKPB yang dikeluarkan kerajaan, kerja-kerja nyahcemar di pasar awam perlu dijalankan setiap hari namun siasatan mendapati, kompleks pasar itu melakukan proses berkenaan hanya dua kali seminggu.

"Bagi pemeriksaan suhu badan pekerja pula, ia harus dibuat setiap kali pekerja datang bekerja namun pengurusan pasar tidak mengamalkan proses itu.

Artikel Berkaitan:

"Ini meningkatkan risiko kemungkinan ada pekerja yang bergejala hadir ke tempat kerja," katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan pasar dan pemilik perniagaan yang diarah tutup pada hari ini boleh memohon untuk beroperasi semula namun harus memastikan premis mereka mematuhi SOP ditetapkan.

CT Zawiah turut mengingatkan mana-mana pengusaha premis perniagaan supaya terus mematuhi SOP PKPB sepanjang beroperasi kerana pihaknya tidak teragak-agak untuk menutup kedai yang didapati ingkar perintah berkenaan. - Bernama