7 beranak tinggal dalam bangunan usang

Siti Fatimah dan anak-anaknya yang hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan. Gambar kanan, keadaan luar bangunan usang disebalik ruang yang menjadi tempat tinggal Siti Fatimah dan anak-anaknya.
A
A

PUCHONG - Beratapkan bumbung bocor, siapa sangka di sebalik sebuah bangunan kedai usang yang ditinggalkan di sini menjadi tempat teduhan kepada tujuh beranak sejak empat tahun lalu.

Dikelilingi semak samun, bangunan dengan keluasan 20 x10 kaki yang tidak dilengkapi kemudahan tandas itu menjadi ruang tamu dan tempat tidur pasangan suami isteri bersama lima anak mereka.

[email protected] Fatimah Mohd Yasin, 47, berkata, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di premis usang di Batu 14 di sini berikutan tidak mampu menyewa rumah lain.

Keadaan dalam bangunan usang yang menjadi tempat teduhan tujuh beranak.
Keadaan dalam bangunan usang yang menjadi tempat teduhan tujuh beranak.

Dia yang bekerja sebagai pembantu tukang masak hanya memperoleh upah sebanyak RM40 sehari manakala suaminya, Mohd Azman Mohd Noor, 43, tidak mempunyai pendapatan tetap.

Katanya, suaminya yang menghidap kencing manis kronik dan darah tinggi hanya melakukan kerja-kerja ringan sebagai buruh binaan.

“Bukan saya tak mahu pindah ke rumah lain tapi kami tak mampu, walaupun siling rumah bocor tidak mengapalah kami anak-beranak bertahan tinggal di dalamnya.

“Makan pun kami bercatu...mana ada duit lebih nak sewa rumah lain, memang tak mampu,” katanya.

Fatimah berkata, kesemua anaknya tidak bersekolah sejak lebih empat tahun lalu berikutan kesempitan wang.

Katanya, di dalam bangunan usang itulah anak-anaknya menjalani rutin seharian dengan serba kekurangan.

“Kami hanya makan nasi dan telur...kadang-kadang makan mi segera, itu saja yang mampu...anak-anak faham walaupun saya tahu keadaan itu sukar.

“Saya dan suami ada masalah dokumen pernikahan yang sah. Saya dan suami bernikah di Puchong oleh seorang ustaz yang telahpun meninggal dunia...untuk proses seterusnya nak dapat surat nikah dan sebagainya kami tak mampu dan tak tahu nak buat macam mana,” katanya.

Anak kedua pasangan itu, Mohd Shahrul Nizam, 14, berkata hatinya meronta-ronta untuk ke sekolah namun kekangan keluarga menyebabkan niatnya terpadam begitu saja.

Katanya, disebabkan tidak bersekolah dia kadang-kadang bekerja di gerai minuman dan mendapat upah kira-kira RM5 sehari.

“Saya memang nak sekolah tengok kawan-kawan lain bersekolah....tapi mak ayah saya tak cukup duit..yuran dulu pun tak bayar.

“Saya dan adik-beradik lain semua tak tahu baca....hanya kakak saja yang tahu baca sikit-sikit sebab dah lama tak sekolah,”katanya.

Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, beliau menerima maklumat berhubung keluarga tersebut daripada pengikutnya di Facebook.

Katanya, sebaik melakukan tinjauan, beliau terkejut mendapati masih ada insan yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan.

“Saya akan maklumkan kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) untuk lihat apa bantuan boleh diberi.

“Buat permulaan saya cadangkan pindahkan mereka ke rumah RM1 kerana bangunan diduduki sekarang tak sesuai jadi tempat tinggal, semak samun mungkin ada ular yang bahayakan nyawa anak-anaknya.

Sementara itu, kisah keluarga tujuh beranak yang tinggal rumah usang tersebut mendapat perhatian Zakat Selangor apabila keluarga tersebut akan dipindahkan ke sebuah rumah yang lebih selesa dan sempurna.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Zakat Selangor, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, keluarga Mohd Azman mendapat perhatian netizen apabila kesusahan mereka dimuat naik dan dikongsi di media sosial baru-baru ini.

Prihatin dengan kesukaran yang dihadapi, Zakat Selangor segera menziarahi keluarga itu bagi menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mereka.

Katanya, Mohd Azman tidak mampu bekerja kerana menghidap sakit diabetis kronik. Bagi menampung keperluan harian, isterinya, bekerja di sebuah kedai makan, manakala anak sulungnya yang berusia 18 tahun juga membantu dengan bekerja di sebuah pasar raya berhampiran. Selain itu, Mohd Azman turut mempunyai empat orang anak lain yang berusia di antara empat tahun hingga 15 tahun.

"Hasil daripada siasatan, keluarga ini didaftarkan sebagai asnaf miskin. Buat permulaan, Zakat Selangor akan bagi bantuan deposit sewa rumah untuk keluarga Mohd Azman. Keluarga ini dijangka akan dipindahkan esok dan sewa rumah tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh Zakat Selangor.

"Keluarga ini juga akan terima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 dan bantuan makanan bulanan bermula bulan ini," katanya.

Beliau dalam pada itu merakam ucapan penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama bagi memastikan nasib keluarga ini terjamin.

Pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan terhadap keluarga tersebut dan bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan.