Selangor larang penjaja warga asing

Rodziah Ismail
Rodziah Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 2007 bagi melarang mana-mana warga asing berniaga di negeri ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail berkata, penetapan dasar itu dibuat berikutan beberapa perkara di dalam UUK Penjaja 2007 sedia ada dilihat perlu ditambah baik demi kebaikan semua pihak.

Beliau berkata, menerusi pindaan itu, kerajaan negeri akan membuat penyelarasan melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berkaitan dengan syarat lesen penjaja.

"Menerusi pelaksanaan itu, 12 PBT terlibat akan memastikan semua pemilik lesen penjaja hanya terdiri dalam kalangan warganegara Malaysia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut dilihat bertindak tegas dengan UUK sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam industri perniagaan khususnya sektor penjajaan.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, PBT juga perlu memastikan nomini (pengganti) kepada pemilik lesen sedia ada hanya diberikan kepada warganegara Malaysia.

"Kebiasaanya, pengganti ini hanya diberikan untuk kes tertentu seperti pemilik lesen pergi haji, sakit atau sebagainya," katanya.

Selain daripada itu, Rodziah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga berkata, menerusi ketetapan itu juga, pemilik lesen perlu memastikan pekerja mereka hanya terdiri daripada kalangan warganega Malaysia selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Maknanya, pindaan ini adalah dengan memasukkan perkataan 'Warganegara Malaysia' sahaja.

"Langkah ini juga akan disusuli dengan penambah baikan kaedah pemantauan di lapangan serta kaedah permohonan dan pembaharuan lesen," katanya.