X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka jangka tambah bilangan jemaah solat Jumaat

Sulaiman (kanan) ketika mengiringi Mohd Khalil dan Mohd Ali ke kenderaan selepas Majlis Serah Tugas Yang Dipertua Negeri, di Pejabat Yang Dipertua Negeri, di Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka dijangka menambah bilangan jemaah solat Jumaat melebihi 40 orang berdasarkan pandemik koronavirus (Covid-19) yang menunjukkan perkembangan positif di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, ketetapan tersebut masih dalam perbincangan dan kajian sedang dilakukan Pejabat Mufti serta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum keputusan dibuat selepas 9 Jun ini.

Menurutnya, penambahan bilangan antara 100 hingga 200 orang itu bergantung kepada keluasan ruang solat utama di sesebuah masjid mahupun surau yang telah diberikan tauliah untuk solat Jumaat sekali gus memberi peluang lebih ramai jemaah untuk mendirikan solat tersebut.

"Kerajaan negeri melalui perbincangan dengan Pejabat Mufti dan JAIM ada cadangan menambah bilangan jemaah solat Jumaat melihat kepada keluasan ruang solat kerana ada yang boleh memuatkan jemaah sehingga 1,200 orang dalam satu-satu masa.

"Contoh seperti Masjid Al-Azim ruang solat utama dapat menampung jemaah yang ramai dan perkara itu perlu diambil kira untuk membenarkan penambahan bilangan jemaah, mungkin 100 hingga 200 tapi masih dalam kajian Pejabat Mufti," katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Yang Dipertua Negeri daripada Tun Dr Mohd Khalil Yaakob kepada Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Yang Dipertua Negeri, di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sebelum ini, Melaka pada 29 Mei lalu membenarkan 212 masjid termasuk surau untuk mendirikan solat Jumaat dengan menetapkan syarat seramai 40 jemaah sahaja bagi setiap masjid.

Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, jemputan jemaah masih menggunakan kaedah yang sama termasuk sistem penggiliran dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAIM seperti penjarakkan sosial serta membawa sejadah dari rumah.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, memandangkan keadaan Covid-19 di negeri ini berada di zon hijau, maka kerajaan negeri dalam perbincangan untuk membolehkan aktiviti penjaja di pasar malam beroperasi semula namun segala keputusan akan dimuktamadkan selepas 9 Jun ini.

"Kita prihatin dengan nasib penjaja pasar malam yang terkesan dengan pandemik ini dan telah dimaklumkan dalam jawatankuasa Covid-19 negeri, kalau boleh dibenarkan pasar pagi dan pasar tani beroperasi tapi selepas peringkat Pusat umumkan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!