Isu harga barang: RM308,500 kompaun dikeluarkan KPDNHEP

Iskandar Halim ketika meninjau sekitar Pasar Kuala Pilah.
Iskandar Halim ketika meninjau sekitar Pasar Kuala Pilah.
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak RM308,500 kompaun dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2020, berakhir Rabu lalu.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, jumlah tersebut meliputi 147 kes termasuk empat daripadanya pemborong kerana kesalahan menjual barangan kawalan melebihi harga yang telah ditetapkan.

“Ada satu kes baru di Kuala Lumpur melibatkan pemborong ayam yang menjual lebih daripada harga maksimum borong yang ditetapkan dan telah dikompaun RM50,000.

"Kita mengambil tindakan tegas kali ini dengan menaikkan kadar kompaun,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjau harga barangan kawalan di pasar Kuala Pilah dan Pasaraya Giant di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan (Pengurusan) KPDNHEP, Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Mengulas lanjut beliau berkata, jumlah kompaun kali ini juga menyaksikan peningkatan berbanding skim sama pada tahun lalu iaitu berjumlah RM46,550 yang membabitkan 362 kes.

“Ini kerana nilai kompaun yang berikan pada skim kali ini telah meningkat iaitu minima tidak kurang RM1,000 berbanding RM100 ke RM200 bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga.

"Kompaun sebanyak RM2,500 hingga RM5,000 bagi kesalahan menjual melebihi harga siling berbanding sebelum ini RM250 bagi peruncit manakala pemborong pula, kompaun maksimum ialah RM50,000 berbanding sebelum ini RM5,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, peningkatan kompaun ini adalah supaya peniaga tidak mengambil kesempatan kerana mereka yang mengambil kesempatan, diberikan hukuman lebih berat kali ini.

Beliau turut menegaskan tindakan ke atas peniaga bukanlah matlamat utama kementerian, sebaliknya tindakan hanya diambil kepada peniaga yang melakukan kesalahan.

Sementara itu beliau berkata, tinjauan selepas berakhirnya SHMMP di seluruh negara juga mendapati berlaku kenaikan harga ayam sehingga RM8.50 berbanding RM7.50 ketika skim berkenaan berkuatkuasa.

“Bagaimana pun kita akan siasat kenapa berlaku peningkatan mendadak ini contohnya hari ini saya dapati ada pemborong yang naikkan harga ayam mereka 50 sen sekilo yang sekarang dijual pada RM6.20 ke RM6.70 kepada peruncit dan itu menyebabkan peruncit terpaksa menjual lebih daripada RM8," katanya.