Suami isteri ditahan dera pembantu rumah

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mendera pembantu rumah mereka dan tidak membayar gaji wanita warga Indonesia tersebut.

Pasangan masing-masing berusia 40-an itu ditahan di kediaman mereka di Kampung Pasir Panjang, di sini kira-kira jam 6.45 petang, Isnin lalu.

Menurut sumber, perbuatan pasangan berkenaan diketahui selepas mangsa berusia 35 tahun melarikan diri dari rumah tersebut sebelum tampil membuat aduan di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini.

"Mangsa datang ke balai kira-kira jam 4 petang (Isnin lalu) memaklumkan yang majikannya sudah tiga bulan tidak membayar gaji selain mendakwa sering dipukul sepanjang bekerja di rumah majikannya.

"Selepas disoal siasat, anggota bertugas ke rumah pasangan suami isteri berkenaan hari yang sama untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, pasangan suami isteri itu mengaku ada menggajikan seorang pembantu rumah warga Indonesia sejak Disember tahun lalu dengan bayaran gaji RM1,000 sebulan.

"Pasangan itu juga menjelaskan yang mereka bukan tidak memberi wang gaji kepada mangsa tetapi wang tersebut disimpan kerana ingin membantu wanita itu membuat simpanan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan pasangan suami isteri terbabit.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 (Akta 670) yang memperuntukkan penjara tidak lebih 15 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.