UMNO, Melaka lapor polis terhadap Guan Eng

Mohd Ali menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Batang Tiga di sini, malm tadi.
Mohd Ali menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Batang Tiga di sini, malm tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - UMNO Bahagian Tangga Batu bersama Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Melaka membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Batang Tiga, Klebang di sini, malam tadi.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohd Ali Mohamad berkata, tindakan itu berikutan dakwaan salah guna kuasa Tommy kepada Guan Eng yang yang tular di media sosial.

Menurutnya, pihaknya yakin bahawa wujudnya penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Kewangan itu atas kapasiti jawatannya pada ketika itu, yang didakwa cuba mencampuri urusan siasatan serta mempengaruhi Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyahbekukan akaun seorang individu bergelar 'Tan Sri'.

Kata Mohd Ali, pihaknya mahu siasatan terperinci dibuat bagi membolehkan tujuan sebenar Guan Eng beriya-iya membantu individu hartanah terbabit untuk mencairkan akaun bank itu.

"Pendedahan ini suatu yang mengejutkan dan berkemungkinan membuka kepada lebih banyak skandal serta rasuah yang dilakukan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Jadi, kita sepakat membuat laporan polis agar pendedahan itu disiasat seadil-adilnya supaya mereka yang benar-benar bersalah tidak terlepas daripada hukuman," katanya selepas membuat laporan polis itu.

Hadir sama, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Melaka, Hishammudin Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ali yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pihaknya bersedia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan tindakan susulan dibuat.

Terdahulu, sebuah portal berita mendedahkan beberapa dokumen yang tular dan melaporkan mengenai permintaan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, untuk membatalkan pembekuan akaun taikun itu yang dibuat pada akhir Mei tahun lalu, didakwa ditunaikan Tommy dalam tempoh dua minggu.

Laporan tersebut turut mendakwa keputusan itu dibuat walaupun SPRM memaklumkan wang berjumlah RM4 juta itu gagal dipulangkan oleh taikun berkenaan kepada kerajaan.